Khamis, 14 Januari 2021

CAMERON HIGHLANDS - LONJAKAN DESTINASI PILIHAN RAMAI

Tahun 2014, saya sekeluarga pernah menjejakkan kaki ke Cameron Highlands sebanyak 2 kali iaitu pada bulan Jun dan Disember 2014. Bunyi macam pelikkan kenapa sampai "repeat" dalam tahun yang sama. Alkisahnya ianya secara tidak disengajakan di mana saya berpeluang mengikut rombongan konvoi rakan-rakan abang saya pada bulan Jun tersebut. Bagai tidur disorongkan bantal, pelawaan dari abang saya tidak ditolak kerana saya tidak pernah ke Cameron Highlands dan tidak tahu bagaimana ingin sampai ke sana dengan keluarga. Saya mengambil peluang untuk mendapatkan pengalaman ke Cameron Highlands sebelum pada bulan disember berikutnya, saya sekeluarga membawa keluarga isteri terdiri dari ibubapa mertua dan keluarga adik ipar. Sejujurnya kenapa sampai 2 kali saya ke sini adalah kerana tidak berpuashati dengan suasana sejuk pada bulan Jun yang agak kurang dirasai ketika itu. Jesteru saya mengandaikan pergi pada musim tengkujuh (Disember) akan lebih menarik lagi untuk merasai angin dingin di Cameron Highlands. Jangkaan saya benar, kedatangan kali kedua dimusim tengkujuh memang mengasyikan walaupun keselesaan untuk berjalan-jalan ketika hujan agak kurang, tetapi dengan suhu yang dingin ditambah dengan terjahan hujan, suasana ini memang tidak boleh dirasai selain di sini dan Genting Highlands.

Itu cerita 6 tahun yang sudah. Ketika itu Cameron Highlands bukanlah destinasi pilihan ramai dan tiada masalah kesesakan lalu lintas dan sebagainya. Namun tahun demi tahun selepas itu, melalui hebahan di dalam sosmed, saya mendapati Cameron Highlands menjadi destinasi yang agak popular sehingga menyebabkan kesesakan lalulintas untuk ke sana. Dari satu lokasi ke satu lokasi yang hanya berjarak 3 km pun sahaja mengambil masa yang agak lama dek kerana terlalu banyaknya kenderaan.

Pada 28 - 30 Disember 2020, saya sekeluarga kembali semula ke Cameron Highlands. Kali ini bilangan ahli keluarga bertambah seorang dengan kehadiran anak bongsu saya yang berumur 4 tahun. Saya sekeluarga mengikut masa perjalanan yang sama sebelum ini iaitu bertolak pada awal pagi dinihari iaitu kira-kira jam 12.30 pagi dari kediaman kami di Segamat Johor. Perjalanan dari Segamat ke checkpoint pertama RnR Tapah arah utara mengambil masa kira-kira 5 - 6 jam. Selepas 2 jam perjalanan saya berhenti sekejap di RnR Seremban arah utara untuk merehatkan diri. Waktu itu jam menunjukkan 2.30 pagi. Selepas lebih 10 minit berehat, saya terus memandu dan berhenti sekali lagi untuk berehat di Hentian Tangjung Malim iaitu kira-kira jam 04.30 pagi. Saya mendapati lokasi ini agak ramai juga yang berhenti berehat sebelum mereka meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing. Jam lebih kurang 05.15 pagi, saya sekeluarga meneruskan perjalanan ke checkpoint pertama dan syukur alhamdulillah kami sampai seperti yang dijadualkan ke RnR Tapah arah utara sekitar jam 06.00 pagi. Di sini merupakan tempat untuk kami membersihkan diri, solat subuh dan berehat sebentar sebelum meneruskan pendakian bukit melalui jalan Tapah ke Cameron Highlands.




RnR Tapah arah utara


Usai penyucian diri dan solat subuh, kami bergerak ke Tapah pada kira-kira jam 07.00 pagi. Sebelum itu saya berhenti di stesen minyak Petronas di RnR Tapah tersebut untuk pengisian semula petrol. Saya memilih jalan Tapah ke Cameron Highlands kerana diawal pagi agak selesa untuk mendaki bukit walaupun jalan-jalannya berliku tetapi dengan kedinginan suhu yang semakin tinggi semakin sejuk, kita berasa agak selesa. Satu jam suku mendaki bukit, akhirnya kami sampai di Pekan Tanah Rata pada jam lebih kurang 08.30 pagi. Menariknya diwaktu ini cuaca agak baik dan tidak hujan walaupun sebelum ini bumi Cameron Highlands dibasahi hujan dek kerana musim tengkujuh.

Perkara pertama yang kami buat apabila sampai ialah singgah di sebuah gerai yang teletak di Pekan Tanah Rata untuk bersarapan. Kedai ini pernah kami kunjungi pada tahun 2014 yamg lalu. Selepas menjamu sarapan pagi, kami terus ke checkpoint kedua iaitu Taman Agrotech Mardi. Tempat ini merupakan tempat wajib memandangkan ianya dibuka seawal jam 08.00 pagi. Banyak juga perubahan yang ada sejak 6 tahun yang lepas. Antara yang baharu dan unik adalah taman arnab dan rama-rama.








Taman Agrotech MARDI


Usai di situ, kira-kira jam 11.00 pagi kami bergerak ke KHM Strawberry Park yang merupakan checkpoint  keempat. Kami telah skip checkpoint ketiga ( Dataran Tanah Rata) yang terletak bersebelahan Agrotech Mardi kerana tiada apa-apa yang menarik disitu (hanya tempat untuk bergambar). Di KHM Strawberry Park yang diusahakan oleh bumiputera, terdapat banyak pilihan untuk memetik strawberry, makan minum di cafe yang ada, membeli produk makanan dari sumber strawberry seperti jem, coklat, kek  dan lain-lain yang kita sendiri boleh pilih dan apa yang kita mahukan.






KHM Strawberry Park


Setelah meluangkan masa hampir 1 jam setengah disitu, kami menghitung masa untuk check-in di homestay yang telah kami tempah iaitu di Airis Homestay Perumahan Makmor (apartment) berdekatan dengan pekan Tanah Rata. Badan telah letih maklumlah telah bergerak dari hometown sekitar jam 12.30 pagi tadi sehinggalah ke waktu tengahari ini masih berlegar-legar mengunjungi tempat-tempat menarik di sini. Akhirnya sekitar jam 1.30 tengahari, saya mendapat panggilan dari agen homestay untuk membenarkan kami masuk. Apa lagi kami pon terus menuju ke blok yang telah dikongsi lokasi oleh agen tersebut (kebetulan telah berada disekitar kawasan apartment) untuk masuk. Alhamdulillah apartment nya sangat selesa, (ada kemudahan lif) dan merupakan apartment tepi yang mempunyai tingkap disetiap bilik. Harga sewa yang saya peroleh adalah sebanyak RM 450.00 untuk 3 hari 2 malam. Masa untuk kami merehatkan diri awal check-in sehinggalah ke petang.




AIRIS Homestay


Sebelah malam pula, setelah cukup rehat, kami sekeluarga keluar untuk makan malam. Kami hanya mencari kedai makan di pekan Tanah Rata dan selesai makan kami menuju ke Pasar Malam Golden Hills (checkpoint kelima) untuk melihat sendiri keunikan dan apa yang ada dijual di situ. Terletak kira-kira 3 km dari pekan Tanah Rata, memang panjang pasar malam ini. Kemudahan letak kenderaan juga disediakan dengan bayaran RM 1.00. Asalnya dahulu pasar malam ini terletak di Brinchang sebagaimana yang telah kami kunjungi ketika tahun 2014 yang lepas. Pihak berkuasa Cameron Highlands telah memindahkannya ke tapak baharu untuk lebih keselesaan. Kami hanya bersantai sambil menjaga SOP penjarakan fizikal. Saya membeli sedikit makanan dan isteri pula membeli beberapa kotak coklat untuk keluarga.






Pasar Malam Golden Hills


Hari kedua pula pelbagai agenda telah disusun. Checkpoint keenam pula merupakan tempat paling wajib bagi mereka yang datang ke Cameron Highlands ini iaitu apalagi kalau bukan Ladang Teh Boh Sungai Palas. Di sinilah lahirnya teh jenama BOH yang kita minum seharian. Luasnya ladang ini sungguh mengagumkan. Untuk ke ladang tersebut, jalannya agak berliku dan sempit namun anda tidak perlu risau kerana ada security kawalan lalulintas yang akan menyusun laluan anda khusus di jalan yang sempit dan berliku. Sekitar jam 10.00 pagi kami sampai ke destinasi kerana sebelum itu kami singgah di pekan Brincang untuk sarapan pagi. Perjalanan dari homestay kami ke ladang mengambil masa kira-kira 30 minit. Ini merupakan kunjungan ketiga kami ke sini. Terdapat perubahan dari bab keluasan parking kenderaan di mana ianya telah dibesarkan, adanya kemudahan "shuttle bus" untuk ke puncak kilang dan juga pembesaran kafetaria. Kami tidak melepaskan peluang untuk membeli beberapa produk teh yang segar terus dari kilang.















                                                             Ladang Teh BOH


Setelah meluangkan masa beberapa jam di situ, kami meneruskan agenda ke chekcpoint  ketujuh iaitu ke Cameron Square (Mall) untuk menyuci mata. Waktu menunjukkan jam 12.15 tengahari dan kami merasakan masa yang sesuai untuk ke shopping mall. Lokasinya pula tidaklah jauh hanya bertentangan dengan simpang masuk ke Ladang Teh BOH.  Cameron Square ini tidaklah besar manapun sesuailah dengan faktor muka buminya. Hanya 3 tingkat sahaja dan di dalamnya juga terdapat sebuah pusat 5D binatang-binatang purba sesuai kepada mereka yang gemar mengambil gambar. Kami hanya bersiar-siar di dalam mall sambil isteri dan anak perempuan saya sibuk membeli tudung dan baju mereka.

Checkpoint kelapan sepatutnya kami akan ke Lavender Garden. Namun setelah berbincang di Cameron Square, anak-anak dan isteri saya tidak mahu pergi kerana faktor kepenatan. Lagipun memang kami pernah dua (2) kali ke sana. Oleh itu kami mengambil keputusan untuk menuju ke arah pulang (Tanah Rata) kembali untuk pergi ke checkpoint kesembilan iaitu Cactus Point. Terletak di laluan perjalanan balik, kami singgah di sini untuk melihat pelbagai keunikan pokok-pokok kaktus. Hanya isteri dan anak perempuan saya sahaja yang masuk. Kami kaum lelaki hanya setia menunggu di luar sambil menghirup angin sepoi-sepoi dingin. Jam ketika itu telah menunjukkan pukul 02.30 petang. Selesai membelek-belek pokok-pokok kaktus (tiada pembelian) kerana tiada yang berkenan dihati, kami meneruskan perjalanan balik dan akhirnya singgah di satu tempat (tepi jalan) yang kelihatan sibuk dikunjungi ramai orang. Tanpa ada dalam agenda, maka kami jadikan ianya sebagai checkpoint kesepuluh. Lokasi persinggahan ini diberi nama Arked Peladang Cameron Highlands. Deretan kedai tepi jalan ini menghidangkan pelbagai jualan dari makanan hinggalah ke cenderahati, hatta pokok-pokok kaktus juga ada dijual. Di sini, isteri saya telah membeli dua (2) buah pokok kaktus dan dua (2) buah pasu untuk dibawa balik ke Segamat. Saya pula sibuk membeli coklat-coklat di dalam kotak untuk keluarga dan juga untuk dibawa ke Perak pada 03 Januari 2021 kelak (urusan keluarga). Ada sedikit makanan-makanan ringan seperti keledek bakar saya beli untuk dibawa balik makan ke apartment.  Sekitar jam 04.30 petang kami sampai ke apartment dan menikmati segala makanan yang ada sambil santai berehat.




Arked Peladang Cameron Highlands


Sebelah malamnya pula (hari kedua), kami keluar makan santai-santai di kawasan Perumahan Makmor (apartment).  Di kawasan penginapan ini di mana disetiap "ground floor" blok apartment ini disediakan banyak kedai-kedai makan, kedai-kedai pakaian, kedai runcit (mart) dan juga kedai-kedai cenderahati berasaskan Cameron Highlands. Setelah makan di kedai Pak Tam Corner, kami bersiar-siar dengan hanya berjalan kaki sahaja di sekeliling blok-blok apartment. Sekali pandang macam sebuah ala-ala penempatan kecil yang mempunyai pelbagai kemudahan di situ.






Perumahan Makmor  CH

Keesokan hari (hari ketiga) merupakan hari terakhir kami di sini. Kami hanya mengambil peluang bersarapan di sekitar apartment dan berehat sambil berkemas untuk check-out. Kira-kira jam 11.00 pagi selesai pemunggahan semua barang-barang ke kereta, kami rasminya check-out dari apartment tersebut. Kunci rumah hanya perlu ditinggalkan kembali di kotak berkunci yang disediakan di luar pintu rumah. Saya menghubungi agen homestay untuk memberitahu yang kami telahpun keluar. Dari apartment, saya memandu terus ke pekan Tanah Rata dan singgah sebentar di sebuah lot-lot kedai yang terletak di tepian jalan untuk menambah lagi stok coklat-coklat dan lain-lain makanan untuk pemberian hadiah kepada keluarga. Perjalanan menuruni bukit ke Tapah pada kali ini agak mencabar kerana anak bongsu saya muntah namun sempat diberikan mangkok tadahan. Kemungkinan suhu cuaca yang telahpun panas dan jalan-jalan yang berliku menyebabkan mereka tidak selesa berbanding ketika awal mendaki pada hari kedatangan. Kami tidak singgah ke checkpoint terakhir iaitu Air Terjun Lata yang terletak di kaki bukit Cameron Highlands kerana ingin mengejar ke lokasi Nasi Bamboo Sungal Klah yang terletak di Sungkai Perak. Perjalanan dari Tanah Rata ke Nasi Bamboo Sungai Klah menambil masa kira-kira dua (2) jam. Kira-kira pukul 01.00 tengahari kami sampai ke sini di mana ianya hanya terletak kira-kira 500 meter dari Plaza Tol Sungkai Perak. Ini merupakan kunjungan kali kedua kami di sini. Tempatnya agak luas, makanannya pula adalah pelbagai terutama lauk-pauk ala-ala kampung. kambing grill juga ada dijual, ikan-ikan bakar dengan speselnya di sini, nasi putih dibalut dengan daun getah dan dimasak didalam buluh.



Usai makan tengahari, kami bergerak pulang memasuki semula lebuhraya utara-selatan dan berhenti dibeberapa buah RnR untuk rehat dan solat. Destinasi akhir kami adalah di RnR Ayer Keroh Melaka untuk solat dan makan malam sebelum selamat tiba ke rumah pada jam 10.30 malam.

Sekian.















TEKS UCAPAN ALUAN PENGERUSI MASJID AL-MUHAJIRIN BUKIT SIPUT

  Bismillahirrahmannirahim, Alhamdullillahhirabbil alamin wassalatuwassala muala asyrafil ambia imursalim waala alihi wassahbihi wassalim ...