Selasa, 14 Mac 2017

SONGKOKISME IV

SONGKOKISME IV


Petang yang meredup itu, ketika kenderaan melepasi Balai Polis Pekan Temasik, tiba-tiba teringatkan arwah atuk bernama Sarjan Harun yang pernah bertugas di Balai Polis Pekan Temasik. Sarjan Harun berasal dari Kampung Paya Pulai.

Kampung Paya Pulai tidak jauh dari Balai Polis Pekan Temasik dan Sarjan Harun mempunyai banyak bidang tanah di situ. Rumah Sarjan Harun bukan sahaja rumah kampung yang besar, malah disekelilingnya pula dikepungi berpuluh-puluh pokok buah-buahan seperti durian, manggis, langsat dan sebagainya. Tidak hairanlah Sarjan Harun merupakan salah seorang orang kaya kampung tersebut dan mempunyai 4 orang isteri dengan 10 orang anak kesemuanya.

Sarjan Harun adalah insan yang sangat disegani dan digeruni di kampung tersebut kerana perwatakannya yang tegas, berdisplin dan berjiwa besar. Perjuangan hidup Sarjan Harun bukan sahaja sebagai anggota penguatkuasa malah beliau juga aktif di dalam perjuangan songkokisme sejak di zaman bujang lagi (sejak zaman penjajahan). Sarjan Harun merupakan salah seorang orang kuat di kampung tersebut yang memastikan hak dan keistimewaan songkokisme diberi dan dipertahankan.

Setiap yang hidup pasti akan kembali kepada penciptaNya. Selepas kematian Sarjan Harun, rumah pusaka arwah didiami oleh salah seorang anak dari isteri pertama. Anak perempuan arwah bernama Zaliha tinggal bersama suami dan 4 orang anak (cucu Sarjan Harun). Beliau menjaga rumah dan kebun-kebun Sarjan Harun dengan baik sehinggalah isteri ke-4 arwah Sarjan Harun memulakan atau membuka fail mahkamah untuk merebut harta-harta peninggalan arwah.

Nasib malang bertimpa Zaliha apabila suaminya pula meninggalkannya buat selama-lamanya akibat kemalangan jalanraya. Dengan peninggalan 4 orang anak-anaknya yang masih kecil, Zaliha buntu untuk meneruskan kehidupan apatah lagi beliau pasti perlu keluar dari rumah pusaka Sarjan Harun akibat dari perebutan harta.

Perjuangan songkokisme ketika era itu adalah perjuangan yang sangat murni, ikhlas dan berada dilandasan yang benar dan tepat. Rentetan daripada itulah Zaliha telahpun ditawarkan sebuah rumah kos rendah tanpa perlu bersaing dengan mana-mana pemohon. Tawaran itu telah diusahakan oleh Jawatankuasa songkokisme di kampung tersebut ekoran mengenang jasa dan perjuangan Sarjan Harun. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, Zaliha yang sedang dalam kebuntuan memikirkan masa depan diri dan anak-anaknya, menerima dengan hati gembira. Tiada istilah KRONI di era tersebut, songkokisme membantu tanpa melihat siapa dan di mana. Kebetulan sahaja yang memerlukan bantuan ketika itu merupakan anak kepada salah seorang pejuang songkokisme di kampung tersebut.

Zaliha memulakan kehidupan yang baru bersama-sama anak-anaknya di rumah baru tersebut dan melupakan perebutan harta-harta bapanya kerana apa yang beliau inginkan hanyalah sebuah kehidupan dalam membesarkan amanah yang ditinggalkan oleh suaminya.

Penceritaan tentang perjuangan menarik songkokisme di ketika itu menambat hati salah seorang anak Zaliha untuk meneruskan legasi perjuangan arwah atuknya. Demi membalas budi songkokisme, Fairol cucu kepada Sarjan Harun bergiat aktif dalam perjuangan songkokisme.  Namun pada hari ini Fairol berasa amat kecewa dengan apa yang berlaku di dalam songkokisme. Walaupun kecewa, Fairol tetap tidak berganjak dan beralih arah. Dia berazam untuk berjuang membaiki kelemahan yang wujud dan mengembalikan kepercayaan masyarakat kepada perjuangan songkokisme.


Tiada ulasan:

TEKS UCAPAN ALUAN PENGERUSI MASJID AL-MUHAJIRIN BUKIT SIPUT

  Bismillahirrahmannirahim, Alhamdullillahhirabbil alamin wassalatuwassala muala asyrafil ambia imursalim waala alihi wassahbihi wassalim ...