Ahad, 20 Disember 2020

UMANG - UMANG CHALET KUALA LINGGI (MENGGAMIT TIUPAN KUALA)

Jika anda menginginkan sebuah percutian bajet ala-ala di pendalaman kampung jauh nun di hujung bandar tanpa ada hiruk pikuk kenderaan, maka Umang - Umang chalet sedia menanti anda sekeluarga.

Terletak di tepi pantai Selat Melaka (di Bukit Darat, Kuala Linggi , Kuala Sungai Baru Melaka), perjalanan masuk dari jalan utama hanyalah lebih kurang 1km tetapi jangan terperanjat kerana ianya merupakan jalan tanah merah yang disambut dengan hutan dan pohon kelapa sawit. Siapa sangka disebalik deretan kampung dan hutan, dibelakangnya terdapat 2 buah pusat percutian chalet yang agak sunyi tetapi bertukar hiruk piruk apabila dikunjungi oleh orang ramai pada sesuatu masa.

Pada 18 Disember - 19 Disember 2020, saya sekeluarga telah menganjurkan mini hari keluarga sebelah isteri yang disertai oleh keluarga adik ipar dan ibu mertua. Percutian "short vacay"  ini tidakpun dirancang. Ianya hanya disusun setelah musim pandemik covid-19 kelihatan reda dan kami mengambil keputusan untuk membuat mini "family day" bagi menceriakan anak-anak. Kami bertuah kerana pada masa yang sama terdapat ramai juga kumpulan-kumpulan lain yang juga menganjurkankan hari keluarga sama ada dari organisasi mahupun dari keluarga peribadi menjadikan chalet tersebut riuh rendah dan ceria.

Jam 11.00 pagi 18 Disember 2020, kenderaan kami bertolak dari Segamat dan terus menuju ke Kampung Hulu Bandar Hilir Melaka untuk menikmati cendol kampung hulu dan makan tengahari. Tempat yang tidak asing bagi saya sekeluarga dan kali ini kami ingin memperkenalkan tempat ini kepada keluarga kami yang lain.

.



Setelah selesai menikmati hidangan tengahari,  kira - kira jam 2.45 petang kami bergerak ke destinasi Umang-Umang Chalet. Perjalanan dari bandar hilir ke Kuala Linggi, Kuala Sungai baru Melaka mengambil masa kira-kira 1 jam apatah lagi perjalanan kami dibelai dengan hujan lebat angin monsun.
Tepat jam 4.00 petang kenderaan kami sampai ke destinasi setelah pada awalnya agak keliru dengan arahan "waze" yang membawa kami meredah jalan merah dan deretan kelapa sawit beratur seolah-olah menjenguk kehairanan kepada kami. Rupa-rupanya memang itulah bentuk jalannya sebelum tiba dipegnhujung jalan untuk ke tepi pantai kuala. Saya difahamkan pihak "resort"  telah lama memohon jalan berturap namun masih belum diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan. 

Setelah "check-in" dan berehat di bilik masing-masing, jam 05.00 petang kami turun ke gigi pantai untuk meneruskan aktiviti yang dirancang oleh isteri dan anak-anak saya. Alhamdullilah hujan yang pada awalnya mengiringi kami semasa perjalanan telahpun berhenti. Cuaca agak baik juga petang itu dan kami menjalankan aktiviti mini sukaneka untuk menghiburkan anak-anak.




Sebelah malam pula, kami menuju ke Restoran Ikan Bakar Fort Supai di pengkalan jeti untuk menikmati ikan dan sotong segar. Terletak kira-kira hanya 1.5km dari chalet kami , restoran ini menjanjikan tempat makan yang sangat luas di atas pesisir pantai. Makanan yang dihidangkan memang sedap dan perkhidmatan hidangannya juga agak cepat. Sambil menikmati hidangan, pengunjung disajikan dengan tiupan bayu laut pesisir kuala. Menariknya terdapat banyak ikan-ikan yang berkumpul di bawah jeti menyambut sisa-sisa makanan yang mengalir dari sinki basuhan tangan.


Jam 09.30 malam semuanya telah kekenyangan dan kami kembali ke chalet untuk merehatkan diri. Kami menyewa 3 bilik "deluxe room" di mana bilik ke- 3 adalah untuk ibu mertua dan anak-anak dara kami. Lena kami tidur dibuai deruan ombak kuala dan irama cengkerik yang menghiasi tidur kami pada malam itu.

Keesokannya, kami merancang untuk singgah di pantai pengakan balak untuk makan tengahari. Setelah "check-out" jam 11.45 pagi, kenderaan kami bergerak ke lokasi pengkalan balak. Saya sekeluarga telahpun pergi secara santai pada bulan november 2020 yang lepas.
Tinjauan kami pada kali ini mendapati pantai pengkalan balak didatangi oleh ramai pengunjung tidak seperti pada bulan yang lepas. Ini mungkin disebabkan oleh faktor cuti persekolahan yang secara rasminya telah bermula pada 18 Disember 2020. Ramai yang mengambil kesempatan membawa anak-anak mereka berkelah dan sebagainya. Kami singgah di salah satu kedai makan persisir pantai untuk makan tengahari sambil menghirup udara pantai monsun yang agak dingin walaupun diwaktu tengahari.


Jam 2.45 petang kami beransur dari pantai pengkalan balak menuju ke destinasi terakhir iaitu Pasaraya MyDin MITC sebelum pulang ke Segamat Johor. Alhamdulillah kami semua selamat sampai ke "hometown" sebelum jam 07.00 petang. Insha Allah "next trip" kita jumpa lagi!















 























Tiada ulasan:

 JALUR GEMILANG