Pengakalan Balak Melaka, satu nama yang tidak asing lagi di negeri Melaka Bandaraya Bersejarah. Sebuah tempat destinasi popular pelancongan (Pekan lama ) terletak di dalam daerah Alor Gajah ini mempunyai pantai pengkalan balak. Terletak bersebelahan dengan Tanjung Bidara, merupakan satu destinasi wajib yang perlu orang luar singgah bagi merasai keunikan negeri Melaka.
Saya sekeluarga merupakan antara berpuluh ribu orang yang pernah hadir di pantai Pengkalan Balak. Pada 28 November 2020, kami sekeluarga berpakat untuk menerjah ke pantai berkenaan untuk sekadar mengambil angin. Kebetulan anak saya yang bongsu berumur 4 tahun menginginkan untuk bermain pasir pantai. Oeh itu, kira-kira jam 11.00 pagi kami bertolak dari rumah kami di Segamat Johor. Perjalanan ke destinasi tersebut mengambil masa lebihkurang 1 jam 30 minit. Seingat saya, kali terakhir pernah datang ke pantai Pengkalan Balak adalah ketika diusia remaja dahulu.
Setelah 1 jam lebih perjalanan melalui Lebuhraya Utara Selatan dan memasuki persimpangan tol Ayer Keroh, kami tiba kira-kira jam 12.35 tengah hari. Alhamdulillah pada ketika ini dimusim tengkujuh, kebetulan pada hari berkenaan tidaklah hujan tetapi suasana seakan mendung dan nyaman walaupun di kemuncak tengah hari.
Seronoknya menyusuri jalan kecil tepi pantai yang dibarisi dengan deretan hotel, chalet mahupun homestay untuk mereka yang ingin bermalam di sini. Pilih sahaja yang mana ada mahu mengikut bajet masing-masing. Rimbunan pokok-pokok besar di deretan pantai menambahkan lagi keredupan pantai sesekali dihembusi angin pantai. Setelah menjumpai tempat yang sesuai untuk kami "park", anak-anak saya terutama yang bongsu tidak sabar untuk mencecahkan kakinya ke pantai apatah lagi barang-barang mainan untuk mengorek pasir telah dibelikan. Saya dan isteri hanya memantau dari bahu jalan di bawah rimbunan pokok yang merimbun. Untuk mereka yang ingin merasai angin-angin pantai yang mengasyikkan, di sini ada jawapannya. Tempat macam ini sesuai untuk tangkap gambar & menikmati tiupan angin laut yang menghembus manja ke muka kita. Tak perlu jauh jalan ke langkawi untuk berkelah di pantai yang cantik.
Sepanjang deretan jalan pantai ini juga terdapat banyak gerai-gerai makanan & minuman, gerai cenderahati dan gerai pakaian tersedia untuk kemudahan pengunjung. Tandas awam juga ada disediakan diawal pintu masuk ke pantai. Apa yang uniknya terdapat banyak kemudahan bilik mandi perseorangan yang disediakan dengan bayaran RM 1.00 seorang bagi mereka yang datang balik hari seperti kami apabila selesai menikmati mandi-manda di pantai.
Setelah lebih 1 jam membiarkan anak-anak menikmati permainan pasir, kami memanggil mereka untuk mencari gerai makanan pula kerana kami belum lagi menikmati makanan tengah hari. Kami memilih sebuah kedai ala-ala bistro (berdekatan dengan kemudahan bilik mandi) untuk santapan tengah hari. Indahnya makan minum di sini dengan merasai tiupan bayu laut yang memang asing bagi kami yang tinggal berjauhan dari pantai.
Jam 04.00 petang, kami mengorak langkah meneruskan perjalanan ke Bandaraya Melaka menyusuri jalan tepi pantai ke arah Tangjung Kling dan seterusnya ke Bandar Hilir. Sebelum sampai, kami singgah di sebuah masjid untuk menunaikan tanggungjawab melaksanakan solat jamak takhir.
Bagi mereka yang inginkan santai harian merasai tiupan bayu ombak pantai, pantai Pengakalan Balak menjanjikan sebuah destinasi bajet yang memenuhi kehendak anda apatah lagi jika bertandang diwaktu-waktu musim agak dingin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan