SEPAK TAKRAW / SEPAK RAGA
Sukan tradisional ini jangan sesekali di pandang sepi walaupun pelbagai jenis sukan moden ada dihadapan mata kita.
Sepak takraw (dipercayai takraw panggilan dari negara Thai) merupakan sejenis permainan antara dua pasukan atau regu yang dianggotai oleh tiga orang pemain bagi setiap regu. Mempunyai jaring yang memisahkan di antara kedua-dua regu dan dimainkan di gelanggang yang berukuran sama seperti gelanggang badminton. Bola takraw pula pada asalnya diperbuat daripada rotan dan kini telah digantikan dengan penggunaan bola buatan.
Sepak raga pula merupakan permainan menimang bola takraw dalam bulatan dengan menggunakan kaki atau kepala dan telah dimainkan semenjak Zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Dalam Sulalatus Salatin ada diceritakan mengenai Raja Muhammad, putera Sultan Mansor Shah Muhammad, yang tertanggal tanjaknya akibat terkena bola raga tendangan Tun Besar.
Permainan sepak takraw yang ada sekarang merupakan pengubahsuaian permainan sepak raga dan badminton. Pada tahun 1940-an permainan ini telah dimainkan dengan menggunakan jaring dan mengikut sistem kiraan mata seperti badminton. Undang-undang dan peraturan awal permainan sepak raga jaring telahpun digubal dan disusun secara bertulis pada 15 April 1960 di Kuala Lumpur
Baru-baru ini saya telah menyertai pertandingan sukan di Jabatan dengan motif untuk merakyatkan kembali sukan tersebut. Mungkin ada generasi baru yang sudah tidak berminat ambil tahu atau tidak tahu langsung bagaimana sepak takraw dimainkan. Semoga jenis-jenis sukan yang berasal dari nenek moyang kita ini terus kekal walau apa jua arus kemodenan dan pembangunan yang terbit di masa akan datang.
Rujukan : Wikipedia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan