PRN Johor 2022 yang bakal berlangsung pada 12 Mac 2022 nanti merupakan "benchmark" terakhir kepada parti Barisan Nasional (BN) untuk mengkaji tahap sokongan kembali rakyat kepada mereka sebelum berlangsungnya PRU 15. Sebanyak 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dipertandingkan dan Barisan Nasional (BN) menempatkan kesemua calonnya di setiap kawasan DUN tersebut.
Tanggal 26 Februari 2022 (Khamis) lalu, sesi pengumuman calon oleh parti BN telah dibuat oleh Pengerusi BN Johor (Datuk Ir Hasni bin Mohammad) dan bermulalah kekecohan kepada kerusi N04 DUN Kemelah di mana nama calon yang diumumkan adalah dari parti Malaysian Indian Congress (MIC). Kerusi tradisi milik parti United Malays National Organisation (UMNO) selama ini akhirnya diberikan kepada calon parti MIC iaitu Pn. Sarawathi ap Nallathamby. (Ketua wanita MIC Johor Bahru)
Tiba-tiba kawasan dalam DUN Kemelah menjadi riuh pikuk, cakap-cakap politik dikalangan para pengundinya khususnya orang-orang Melayu yang sukar menerima perubahan calon ini. Pn Sarawathi ap Nallathamby begitu asing namanya untuk rakyat DUN Kemelah. Kemelah bukanlah kerana semata-mata Datuk Ayub bin Rahmat (mantan ADUN) nya, malah Kemelah telah sebati dengan calon dari UMNO (orang Melayu). Malah penyandangnya juga adalah dari orang Melayu (Dr Sulaiman bin Mohd Nor) walaupun dari parti Amanah (Pakatan Harapan - PH) yang memenangi kerusi tersebut pada PRU 14 yang lalu. Majoriti 55% penduduk DUN Kemelah adalah dari kalangan orang-orang Melayu sudah mengambarkan betapa sinonimnya wakil rakyat perlu dari kalangan orang Melayu. Terdapat 3 gugusan Felda, kira-kira 10 buah kampung dan jajaran taman-taman perumahan mewakili kawasan ini. Difahamkan kerusi MIC dari 3 sebelum ini ditambah kepada 4 pada PRN Johor 2022 dan yang keempat inilah disasarkan ke DUN Kemelah. Persoalannya mengapa Kemelah?
Itulah yang menjadi tandatanya kepada setiap para pengundi DUN Kemelah khususnya para pengundi dari parti UMNO malah mungkin juga dari pengundi bebas dari kalangan orang-orang Melayu. Dari pemerhatian, memang nampak tergambarnya kekecewaan dilubuk hati orang-orang Melayu, apatah lagi kepada bakal calon menang tidak jadi iaitu Datuk Ayub Rahmat. Ramai rakyat Kemelah melihat Datuk Ayub Rahmat adalah calon menang dan popular yang sepatutnya dinamakan. Adakah ini satu perjudian kepada Kemelah? Adakah ini satu hukuman kepada Kemelah? Adakah ini satu permainan kotor politik dalaman UMNO Bahagian Sekijang yang mengepalai DUN Kemelah & DUN Pemanis? Adakah ini kehendak pucuk pimpinan tertinggi UMNO Johor atau Malaysia?
Natijahnya ada yang mengugut untuk tidak membuka bilik gerakan BN, memboikot, tidak mahu keluar mengundi dan sebagainya. Bukanlah orang-orang Melayu di sini bersikap rasis, tetapi mereka agak sukar menerima hakikat bahawa wakil rakyat mereka khususnya dalam parti BN adalah dari parti komponen (sudah tentu bukan Melayu), itupun jika BN memenangi kerusi tersebut pada PRN Johor 2022 ini. Hebahan gerakan kempen oleh MIC yang diketuai oleh calon Pn. Sarawathi dengan menaikkan ejaan nama Kemerlah di Media Sosial "Facebook" sudah cukup menjadi bola tanggung kepada penentangnya untuk menggambarkan bahawa beliau memang orang asing bagi Kemelah.
Adakah UMNO Bahagian Sekijang gagal melaksanakan fungsinya? Umum mengetahui bahawa persengketaan antara Ketua Bahagian UMNO Sekijang (Datuk Baharom bin Mohamed) bersama pengikutnya dengan Datuk Ayub Rahmat sejak tahun 2008 masih tiada berpenghujungnya malah ditambahlagi dengan persengketaan baharu antara bekas anak didik Datuk Ayub Rahmat ( sdr. Anuar bin Abd Manap) dengan Datuk Ayub sendiri. Sdr. Anuar bin Abd Manap merupakan mantan Ahli Parlimen Sekijang yang memenangi kerusi Parlimen Sekijang pada PRU 13. Beliau kemudiannya bertanding pula di kerusi DUN Kemelah pada PRU 14 yang lalu. Asalnya team double A (disebut-sebut iaitu Ayub & Anuar) bertanding di Parliman Sekijang & DUN Kemelah. Kekalahan tsunami BN pada PRU 14 yang lalu mewujudkan persengketaan antara mereka berdua dan sdr. Anuar dilihat berbaik pula dengan Ketua Bahagian. Mungkinkah persengketaan ini menjadi punca kerusi DUN Kemelah tergadai? Ada yang mengatakan pimpinan UMNO Bahagian Sekijang sengaja membiarkan kerusi DUN Kemelah bertukar tangan untuk membunuh karier politik Datuk Ayub. Ada yang mengatakan Datuk Ayub sengaja tidak mahu bertanding kerana ingin mengejar kerusi Parlimen Sekijang. Semua ini menjadi persoalan yang belum terjawab.
Sukar untuk kita mencari jawapannya namun pada hakikatnya watak-watak yang disebutkan di atas ada jawapannya. Gajah sama gajah bertarung, pelanduk mati ditengah-tengah itulah perumpamaan yang sesuai digambarkan kepada situasi masakini di DUN Kemelah.
Masih ada baki tempoh kempen kira-kira 9 hari lagi ini perlu digalas bersama oleh kepimpinan UMNO Bahagian Sekijang untuk mencerahkan kembali kekusutan yang timbul. Mereka perlu kerap bersama dengan calon untuk turun padang bertemu dengan rakyat Kemelah. Jangan biarkan Datuk Ayub bersendirian berlapang dada bertemu penyokongnya untuk meredakan keadaaan. Tumpuan kepada DUN Pemanis harus dikurangkan kerana kawasan tersebut tidak mempunyai isu dan dilihat berpotensi memberi kemenangan kepada BN. Apa yang penting kemenangan BN harus direalisasikan kembali ke DUN Kemelah demi merancakkan kembali ekonomi dan sosial rakyat di sini.
Sekiranya DUN Kemelah ini satu perjudian pada PRN Johor 2022 ini, maka tidak sabar untuk kita melihat impaknya!