JALUR GEMILANG
PerisaAsamBoi
Pahit, Manis, Masam & Masin.
Khamis, 13 November 2025
TOKOH PAHLAWAN KEMERDEKAAN
KIAI SALLEH PAHLAWAN MELAYU ERA PENENTANGAN KOMUNIS
Nama sebenar
: Hj Mohd Salleh Bin Abdul Karim
Tahun lahir : 1916
Tempat lahir : Tanjung Olak Panchur, Bukit Pasir Muar Johor
Beliau dikenali sebagai “Panglima Salleh” atau “Kiai Salleh”.
Sinonim dengan “Panglima Selempang Merah”.berketurunan banjar.
Beliau menuntut ilmu pahlawan dari beberapa pendekar di Pagoh seperti Haji Hussien, Haji Alias, Haji Adam dan Haji Ahmad.
Beliau
pernah bekerja dengan Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai budak pengutip cukai
tetapi beliau bertindak seperti “Robin
Hood” apabila mengagihkan kutipan itu
kepada penduduk fakir miskin. Perkara ini akhirnya terbongkar dan menyebabkan
PKM marah dan ingin menangkap kiai Salleh tetapi selalu gagal.
Pada era 1945, Nama beliau disebut-sebut ekoran banyak membantu pihak berkuasa menentang kekejaman askar Parti Komunis Malaya (PKM) khususnya di Kawasan Muar & Batu Pahat.
Disaat
masyarakat tempatan diseksa kejam oleh askar PKM khususnya orang-orang melayu
ketika itu, beliau bangkit bersama
pasukannya sendiri “mengamuk” menentang askar-askar PKM ini
Kiai Salleh menggunakan pedang pusaka Raja Riau untuk misinya.
Beliau sendiri mengetuai pasukannya dengan sukarelawan seramai 38 orang yang sanggup berani mati. Mereka-mereka ini dibekalkan dengan ilmu pertahanan diri, ilmu kerohanian dan pelbagai amal ibadat sebelum memasuki medan tempur.
Serangan
pertama beliau adalah di Kangkar Senangar Parit Sulong. Dalam serangan itu, apa
yang menjadi buah mulut orang ramai ialah ramai askar-askar komunis yang mudah
tumpas ditangan pasukan kiai Salleh.
Askar-askar komunis ini menembak di atas dengan mendongak kerana menyangkakan kiai salleh dan pasukannya terlalu tinggi sehingga mencapai pokok kelapa. Situasi ini memudahkan kiai salleh dan pasukannya melibas pedang mereka ke leher askar-askar tersebut. Pedang dan tombak pasukan kiai Salleh dilihat seakan-akan terbang. Pedang milik kiai Salleh dikatakan boleh menyebabkan 7 kesan cantas dengan hanya sekali libasan.
Kiai Salleh digambarkan mempunyai kuasa ilmu batin yang luar biasa sehingga dikatakan boleh bertukar-tukar bentuk dan rupa, malah pernah diceritkan beliau boleh bertukar merupai kucing untuk masuk menyelinap ke satu lubang untuk memasuki medan tempur pengganas komunis.
Peluru-peluru yang dilepaskan oleh tentera komunis bagia tidak lot ke badan kiai Salleh dan pengikutnya berikutan peluru banyak disasarkan kesebelah atas. Hal ini menimbulkan banyak kegerunan kepada askar-askar komunis tersebut.
Pertempuran Tentera Selempang Merah dengan PKM akhirnya terlerai pada 15 September 1945 apabila Datuk Onn Jaafar tokoh politik ketika itu menjadi orang tengah di dalam proses perdamaian tersebut. Perdamaian mencapai kata sepakat diantara pemimpin PKM, Kiai Salleh sendiri dan juga pemimpin masyarakat cina di Kawasan bandar.
Lantaran jasa besar kiai Salleh, Dato Onn Jaafar telah membawa beliau menghadap Sultan Johor ketika itu Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar dan baginda berkenan memberi gelaran “Panglima” pada 26 Disember 1945 ekoran keberaniannya dan melantik beliau sebagai penghulu Mukim Empat, Batu Pahat.
Kiai salleh
meninggal dunia pada 21 April 1959 akiabt serangan paru-paru bengkak. Jasa dan
legasi kepewiraannya tetap dikenang sehingga hari ini.
Selasa, 11 Oktober 2022
TEKS UCAPAN ALUAN PENGERUSI MASJID AL-MUHAJIRIN BUKIT SIPUT
Bismillahirrahmannirahim,
Alhamdullillahhirabbil alamin wassalatuwassala muala asyrafil ambia imursalim
waala alihi wassahbihi wassalim
Rabbissrahli sadri wayassirli
amri wahlull uq dattan millisani yaf khahul kauli.
Yang dihormati dan diraikan
penceramah kita pada malam ini iaitu :
SS YB
Dato’ Haji Ahmad Faisal bin Mohamed (Timbalan Mufti Johor) beserta
rombongannya,
Yang dihormati wakil dari Pejabat
Agama Daerah Segamat beserta rombongannya,
Barisan Pegawai & AJK
Pengurusan Masjid Al-Muhajirin Bukit Siput,
Tuan-tuan / puan-puan /
anak-anak ahli qariah masjid.
Assalamualaikum wbt.
Alhamdulillah bersyukur kita
ke hadrat Allah swt. Kerana dengan izin dan rahmatNya, kita diizinkan untuk
berhimpun bersama-sama pada malam ini sempena sambutan Maulidur Rasul 1444H
peringkat Masjid Al-Muhajirin Bukit Siput. Terlebih dahulu saya inign
merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pegawai dan AJK yang telah dapat menjayakan
program pada malam ini.
Alhamdulillah walaupun negara
kita telah masuk ke fasa endemik akibat dugaan coronavirus yang lalu, namun kita masih dalam suasana berjaga-jaga akan
pandemik Covid-19 ini. Oleh itu kita sewajarnya tidak boleh alpa segala
peraturan dan panduan yang telah ditetapkan. Semoga kita dirahmati Allah SWT
dilepaskan daripada dugaan ini. Kita patuhi peraturan dan panduan, insha Allah
, Allah jaga kita.
Tuan-tuan & puan-puan,
Masjid Al-Muhajirin Bukit Siput senantiasa mengalu-alukan kedatangan qariah-qariahnya
mahupun orang luar yang ingin mengimarahkan masjid ini. Masjid ini yang telah dibina pada sekitar
tahun 1985 pada asalnya dengan
binaan kayu dan telah diubahsuai, dinaiktaraf sehinggalah seperti mana yang
tuan-tuan, puan-puan lihat pada hari ini. Walaubagaimanapun ruangan masjid ini
tidak lagi mampu menampung bilangan jemaah yang ramai pada satu-satu masa
khususnya pada solat Jumaat ataupun solat sunat Aidilfitri. Jesteru itu kita
masih menunggu bilakah impian meroboh dan membina masjid baharu ini direalisasikan.
Jika YB Dato’ maklum dengan perkara ini mohonlah disemak statusnya terkini, insha’
Allah.
Tuan-tuan dan Puan-puan Yang Dirahmati Allah
Sekelian.
Sepanjang
tahun 2020 hingga 2021, tidak banyak aktiviti yang dapat kita laksanakan.
Masjid ditutup mulai 18 Mac 2020 kerana PKP 1 hingga PKP 2 akibat Pandemik
Covid-19. Bermula dengan hanya 3 orang jemaah sahaja yang boleh hadir dalam
solat fardu terdiri daripada Imam, Muazzin dan Siak bagi mendirikan fardu
kifayah. Jumlah kehadiran dinaikkan sediit demi sedikit sehinggalah ke hari ini
kita amat bersyukur ke hadrat Allah swt. Kerana pada hari ini kita telah bebas
untuk hadir ke masjid dan boleh mengadakan aktiviti. Walaubagaimanpun kita
tetap berjaga-jaga agar kita tidak ditimpa jangkitan yang boleh memudaratkan
semua pihak.
Rentetan itu pada malam ini
kita amat besyukur kerana dapat meraikan kembali sambutan Maulidur Rasul yang
telah dua (2) tahun tidak dapat dilaksanakan.
Begitu cintanya kita kepada
Rasullullah saw. Maka amat janggal sekali jika kita tidak dapat menyambut hari
keputeraan baginda saw di ruamh Allah ini. Kita raikan dengan mengadakan berbagai acara sambutan
seperti perarakan, ceramah dan berselawat bagi memuliakan junjungan besar
umat Islam dan sebagai tanda kecintaan kita kepada Rasulullah saw.
Alhamdulillah
bukan sahaja sambutan maulid seperti malam ini, malah apa sahaja sambutan keagamaan
kita akan mulakan sebagaimana tahun-tahun terdahulu sebelum era pandemik.
Tuan-tuan
dan Puan-puan Yang Dirahmati Allah Sekelian.
Saya
tidaklah berniat untuk berucap panjang kerana selepas ini kita akan memberi
laluan kepada penceramah kita untuk menghayati sirah Rasullullah saw. Dengan
tema yang dianjurkan pada tahun ini :
“KELUARGA JOHOR, PEMANGKIN PEMBANGUNAN NEGERI”
Maka
diharapkan istilah keluarga ini dapat memacu pembangunan ummah dari segi
ekonomi dan kerohanian khususnya di negeri Johor ini.
Sekali
lagi saya mengalu-alukan kehadiran semua terutama SS YB Dato’ Haji Ahmad Faisal
bin Mohamed (Timbalan Mufti Johor) beserta rombongannya, wakil dari Pejabat
Agama Daerah, tuan-tuan, puan-puan semoga majlis kita pada malam ini berjalan
dengan baik dan mendapat keredhaan dari Allah swt.
Sekian
wabillah hittaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh.
PRU 15 , PRU ZAHID ?
Menurut YAB PM, beliau telah mendapat perkenan dari DYMM Tuanku Agong untuk membubarkan Parlimen selepas Bajet 2023 dibentangkan di sidang Parlimen pada 09 Oktober 2022. Amat mengejutkan semalam juga DYMM YDP Agong menzahirkan kekecewaan dengan situasi terkini yang berlaku namun baginda tidak mempunyai pilihan selain dari memperkenankan pembubaran kerana menurut baginda dengan keadaan faktor cuaca yang tidak bersesuaian untuk diadakan musim pilihanraya, dengan ramalan banjir besar bakal berlaku, nasib rakyat yang akan menimba musibah dimusim tengkujuh adalah lebih utama.
Persoalannya mengapa tidak mampu lagi menunggu 5-6 bulan akan datang sebelum tempoh berakhir untuk mengadakan pilihanraya semula pada atau sebelum bulan Mei 2023 ? Adakah ini memang kehendak Perdana Menteri itu sendiri ataupun beliau diasak, didesak oleh Presiden UMNO, ataupun kempimpinan parti ataupun kehendak ahli parti itu sendiri?
Saya pernah menulis pada tahun 2018 sebelum PRU 14 di mana parti BN di dalam keadaan bahaya dan bakal tumbang atas faktor "Najib". Terbukti fenomena itu telahpun berlaku dan kesannya sehinggalah kehari ini di mana kerajaan yang ada mentadbir negara bersilihganti bukanlah kerajaan yang "solid' atau kukuh berpaksi.
Adakah UMNO mahupun BN ingin melakukan kesilapan kali kedua dengan terburu-burunya untuk mengadakan pilihanraya semula. Rakyat tidak melihat kerajaan yang sedang mentadbir negara sekarang adalah kerajaan yang lemah kerana ia didominasi oleh orang-orang Melayu Islam berbanding selepas PRU 14 yang diketuai oleh Pakatan Harapan (PH) lalu. Rakyat lebih melihat yang mewujudkan sentimen kerajaan tidak seimbang lebih kepada mainan politik oleh politikus itu sendiri. Berita acapkali UMNO ingin mendesak untuk mengadakan PRU segera bagai satu "bola tanggung" kepada UMNO sendiri dalam menghadapi PRU 15. Walaupun beberapa PRK dan PRN telah memihak kepada BN & UMNO, namun ia bukanlah merit atau "benchmark" untuk berangan bahawa rakyat telah kembali menyokong BN.
Jika benar pembubaran Parlimen ini lebih mengikut kehendak Presiden UMNO, apakah tujuan dan niat utama beliau?. Umum mengetahui beliau mempunyai beberapa lagi kes walaupun pada 23 September lalu, Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membebaskan Ahmad Zahid, 69, yang juga Presiden UMNO, selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau berkaitan rasuah sistem Visa Luar Negara (VLN).
Rabu, 25 Mei 2022
PANTUN UiTM JOHOR
TEMPAT BELAJAR TEMPAT BEKERJA
DIKELILINGI HUTAN BERTEMAN JIRAT
NAMA BERGELAR UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA
MEGAH TERSERGAM DI DAERAH SEGAMAT
KAMPUS BISTARI DIHIDU NYAMAN
KAYA DENGAN KEHIDUPAN RIMBA
TEMPAT DI SINI MENIMBA ILMU PENGETAHUAN
MELAHIRKAN GRADUAN MELAYU YANG BIJAKSANA
JALAN UNIVERSITI OFF JALAN MUAR
NAMA RASMI JALAN SUDAH TERMETRI
SEMANGAT DAN HATI TERUS BERKOBAR
MELAHIRKAN KEJAYAAN BANGSA PERTIWI
Khamis, 3 Mac 2022
KEMELAH OR KEMERLAH ? N04
PRN Johor 2022 yang bakal berlangsung pada 12 Mac 2022 nanti merupakan "benchmark" terakhir kepada parti Barisan Nasional (BN) untuk mengkaji tahap sokongan kembali rakyat kepada mereka sebelum berlangsungnya PRU 15. Sebanyak 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dipertandingkan dan Barisan Nasional (BN) menempatkan kesemua calonnya di setiap kawasan DUN tersebut.
Tanggal 26 Februari 2022 (Khamis) lalu, sesi pengumuman calon oleh parti BN telah dibuat oleh Pengerusi BN Johor (Datuk Ir Hasni bin Mohammad) dan bermulalah kekecohan kepada kerusi N04 DUN Kemelah di mana nama calon yang diumumkan adalah dari parti Malaysian Indian Congress (MIC). Kerusi tradisi milik parti United Malays National Organisation (UMNO) selama ini akhirnya diberikan kepada calon parti MIC iaitu Pn. Sarawathi ap Nallathamby. (Ketua wanita MIC Johor Bahru)
Tiba-tiba kawasan dalam DUN Kemelah menjadi riuh pikuk, cakap-cakap politik dikalangan para pengundinya khususnya orang-orang Melayu yang sukar menerima perubahan calon ini. Pn Sarawathi ap Nallathamby begitu asing namanya untuk rakyat DUN Kemelah. Kemelah bukanlah kerana semata-mata Datuk Ayub bin Rahmat (mantan ADUN) nya, malah Kemelah telah sebati dengan calon dari UMNO (orang Melayu). Malah penyandangnya juga adalah dari orang Melayu (Dr Sulaiman bin Mohd Nor) walaupun dari parti Amanah (Pakatan Harapan - PH) yang memenangi kerusi tersebut pada PRU 14 yang lalu. Majoriti 55% penduduk DUN Kemelah adalah dari kalangan orang-orang Melayu sudah mengambarkan betapa sinonimnya wakil rakyat perlu dari kalangan orang Melayu. Terdapat 3 gugusan Felda, kira-kira 10 buah kampung dan jajaran taman-taman perumahan mewakili kawasan ini. Difahamkan kerusi MIC dari 3 sebelum ini ditambah kepada 4 pada PRN Johor 2022 dan yang keempat inilah disasarkan ke DUN Kemelah. Persoalannya mengapa Kemelah?
Itulah yang menjadi tandatanya kepada setiap para pengundi DUN Kemelah khususnya para pengundi dari parti UMNO malah mungkin juga dari pengundi bebas dari kalangan orang-orang Melayu. Dari pemerhatian, memang nampak tergambarnya kekecewaan dilubuk hati orang-orang Melayu, apatah lagi kepada bakal calon menang tidak jadi iaitu Datuk Ayub Rahmat. Ramai rakyat Kemelah melihat Datuk Ayub Rahmat adalah calon menang dan popular yang sepatutnya dinamakan. Adakah ini satu perjudian kepada Kemelah? Adakah ini satu hukuman kepada Kemelah? Adakah ini satu permainan kotor politik dalaman UMNO Bahagian Sekijang yang mengepalai DUN Kemelah & DUN Pemanis? Adakah ini kehendak pucuk pimpinan tertinggi UMNO Johor atau Malaysia?
Natijahnya ada yang mengugut untuk tidak membuka bilik gerakan BN, memboikot, tidak mahu keluar mengundi dan sebagainya. Bukanlah orang-orang Melayu di sini bersikap rasis, tetapi mereka agak sukar menerima hakikat bahawa wakil rakyat mereka khususnya dalam parti BN adalah dari parti komponen (sudah tentu bukan Melayu), itupun jika BN memenangi kerusi tersebut pada PRN Johor 2022 ini. Hebahan gerakan kempen oleh MIC yang diketuai oleh calon Pn. Sarawathi dengan menaikkan ejaan nama Kemerlah di Media Sosial "Facebook" sudah cukup menjadi bola tanggung kepada penentangnya untuk menggambarkan bahawa beliau memang orang asing bagi Kemelah.
Adakah UMNO Bahagian Sekijang gagal melaksanakan fungsinya? Umum mengetahui bahawa persengketaan antara Ketua Bahagian UMNO Sekijang (Datuk Baharom bin Mohamed) bersama pengikutnya dengan Datuk Ayub Rahmat sejak tahun 2008 masih tiada berpenghujungnya malah ditambahlagi dengan persengketaan baharu antara bekas anak didik Datuk Ayub Rahmat ( sdr. Anuar bin Abd Manap) dengan Datuk Ayub sendiri. Sdr. Anuar bin Abd Manap merupakan mantan Ahli Parlimen Sekijang yang memenangi kerusi Parlimen Sekijang pada PRU 13. Beliau kemudiannya bertanding pula di kerusi DUN Kemelah pada PRU 14 yang lalu. Asalnya team double A (disebut-sebut iaitu Ayub & Anuar) bertanding di Parliman Sekijang & DUN Kemelah. Kekalahan tsunami BN pada PRU 14 yang lalu mewujudkan persengketaan antara mereka berdua dan sdr. Anuar dilihat berbaik pula dengan Ketua Bahagian. Mungkinkah persengketaan ini menjadi punca kerusi DUN Kemelah tergadai? Ada yang mengatakan pimpinan UMNO Bahagian Sekijang sengaja membiarkan kerusi DUN Kemelah bertukar tangan untuk membunuh karier politik Datuk Ayub. Ada yang mengatakan Datuk Ayub sengaja tidak mahu bertanding kerana ingin mengejar kerusi Parlimen Sekijang. Semua ini menjadi persoalan yang belum terjawab.
Sukar untuk kita mencari jawapannya namun pada hakikatnya watak-watak yang disebutkan di atas ada jawapannya. Gajah sama gajah bertarung, pelanduk mati ditengah-tengah itulah perumpamaan yang sesuai digambarkan kepada situasi masakini di DUN Kemelah.
Masih ada baki tempoh kempen kira-kira 9 hari lagi ini perlu digalas bersama oleh kepimpinan UMNO Bahagian Sekijang untuk mencerahkan kembali kekusutan yang timbul. Mereka perlu kerap bersama dengan calon untuk turun padang bertemu dengan rakyat Kemelah. Jangan biarkan Datuk Ayub bersendirian berlapang dada bertemu penyokongnya untuk meredakan keadaaan. Tumpuan kepada DUN Pemanis harus dikurangkan kerana kawasan tersebut tidak mempunyai isu dan dilihat berpotensi memberi kemenangan kepada BN. Apa yang penting kemenangan BN harus direalisasikan kembali ke DUN Kemelah demi merancakkan kembali ekonomi dan sosial rakyat di sini.
Sekiranya DUN Kemelah ini satu perjudian pada PRN Johor 2022 ini, maka tidak sabar untuk kita melihat impaknya!
Isnin, 6 September 2021
JALUR GEMILANG
-
SEJARAH UiTM Universiti Teknologi MARA (UiTM) adalah tidak asing lagi buat seluruh rakyat Malaysia. Ia adalah merupakan sebuah univer...
-
Bismillahirrahmannirahim, Alhamdullillahhirabbil alamin wassalatuwassala muala asyrafil ambia imursalim waala alihi wassahbihi wassalim ...
-
SONGKOKISME IV Petang yang meredup itu, ketika kenderaan melepasi Balai Polis Pekan Temasik, tiba-tiba teringatkan arwah atuk bernama...