10 Oktober 2022, jam 03.00 pm, Perdana Menteri Malaysia YAB Dato' Seri Ismail bin Sabri telahpun membuat pengumuman khas secara langsung dikaca televisyen untuk membubarkan Parlimen.
Menurut YAB PM, beliau telah mendapat perkenan dari DYMM Tuanku Agong untuk membubarkan Parlimen selepas Bajet 2023 dibentangkan di sidang Parlimen pada 09 Oktober 2022. Amat mengejutkan semalam juga DYMM YDP Agong menzahirkan kekecewaan dengan situasi terkini yang berlaku namun baginda tidak mempunyai pilihan selain dari memperkenankan pembubaran kerana menurut baginda dengan keadaan faktor cuaca yang tidak bersesuaian untuk diadakan musim pilihanraya, dengan ramalan banjir besar bakal berlaku, nasib rakyat yang akan menimba musibah dimusim tengkujuh adalah lebih utama.
Persoalannya mengapa tidak mampu lagi menunggu 5-6 bulan akan datang sebelum tempoh berakhir untuk mengadakan pilihanraya semula pada atau sebelum bulan Mei 2023 ? Adakah ini memang kehendak Perdana Menteri itu sendiri ataupun beliau diasak, didesak oleh Presiden UMNO, ataupun kempimpinan parti ataupun kehendak ahli parti itu sendiri?
Saya pernah menulis pada tahun 2018 sebelum PRU 14 di mana parti BN di dalam keadaan bahaya dan bakal tumbang atas faktor "Najib". Terbukti fenomena itu telahpun berlaku dan kesannya sehinggalah kehari ini di mana kerajaan yang ada mentadbir negara bersilihganti bukanlah kerajaan yang "solid' atau kukuh berpaksi.
Adakah UMNO mahupun BN ingin melakukan kesilapan kali kedua dengan terburu-burunya untuk mengadakan pilihanraya semula. Rakyat tidak melihat kerajaan yang sedang mentadbir negara sekarang adalah kerajaan yang lemah kerana ia didominasi oleh orang-orang Melayu Islam berbanding selepas PRU 14 yang diketuai oleh Pakatan Harapan (PH) lalu. Rakyat lebih melihat yang mewujudkan sentimen kerajaan tidak seimbang lebih kepada mainan politik oleh politikus itu sendiri. Berita acapkali UMNO ingin mendesak untuk mengadakan PRU segera bagai satu "bola tanggung" kepada UMNO sendiri dalam menghadapi PRU 15. Walaupun beberapa PRK dan PRN telah memihak kepada BN & UMNO, namun ia bukanlah merit atau "benchmark" untuk berangan bahawa rakyat telah kembali menyokong BN.
Jika benar pembubaran Parlimen ini lebih mengikut kehendak Presiden UMNO, apakah tujuan dan niat utama beliau?. Umum mengetahui beliau mempunyai beberapa lagi kes walaupun pada 23 September lalu, Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membebaskan Ahmad Zahid, 69, yang juga Presiden UMNO, selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau berkaitan rasuah sistem Visa Luar Negara (VLN).
Ingin tahu, adakah selepas PRU 15 ini dan jika BN menang, siapa yang bakal menduduki kerusi Perdana Menteri? Adakah akan berbalik semula kepada YAB Dato' Seri Ismail bin Sabri. Adakah Presiden UMNO akan menawarkan diri secara automatik sebagai Presiden BN. Walaupun Presiden UMNO ada membuat kenyataan bahawa Dato' Seri Ismail kekal sebagai PM jika BN diberi mandat pada PRU 15, namun ia bukanlah satu perjanjian bertulis, ianya hanya merupakan cakap mulut janji yang tidak bernukil.
Oleh itu pada hemah saya, masa belum sesuai lagi untuk mengadakan pilihanraya namun parlimen telahpun dibubarkan! Adakah ini PRU Zahid?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan