GURU DAN SEGURU-GURUNYA vs IBUBAPA
Sehari dua ini tular mengenai kisah seorang guru bernama Azizan Bin Manap atau mesra dipanggil cikgu Azizan yang telahpun diheret ke mahkamah atas dakwaan mendatangkan kecederaan kepada anak muridnya dengan cara menampar. Anak murid tersebut didapati menghidu gam dan kerap ponteng sekolah. Alhamdulillah pada hari ini mahkamah telahpun membebaskan cikgu Azizan kerana pendakwaraya telah menggugurkan kes tersebut.
Kasihan melihat kehidupan kita dewasa ini, semakin menuju ke hari penghujungnya semakin tercabar kehidupan kita. Kalau dulu guru mempunyai kuasa menghukum anak-anak muridnya yang bersalah, kalau dulu ibubapa-ibubapa kita sememangnya menyerahkan tugasan menghukum anak-anaknya kepada guru-guru ketika diwaktu persekolahan, kalau dulu murid-murid hanya acah-acah jahat sahaja tetapi amat takut dan hormat kepada guru-gurunya, kalau dulu murid-murid tahu batas susila dan peradaban di sekolah, kalau dulu murid-murid alah dengan rotannya, penamparnya, berdiri di atas mejanya, berlari keliling padangnya dan bermacam-macam lagi.
Namun itu semuanya KALAU DULU. Hari ini baik guru mahupun ibubapa tidak lagi mempunyai kekuatan untuk mencontohi tingkahlaku orang-orang terdahulu daripada mereka. Ibubapa pada hari ini termasuk diri saya sendiri haruslah mempunyai kekuatan jatidiri berhadapan dengan kes-kes sebegini agar yang hitamnya tetap nampak hitam dan yang putihnya kekal nampak putih. Guru juga haruslah mengambil semangat guru-guru terdahulu dizaman ibubapa mereka agar keikhlasan dan jatidiri sebagai seorang pendidik lahir secara otomatis dan akhirnya memberi kesan yang baik kepada semua pihak.
Kita akui zaman yang semakin mencabar ini, tingkahlaku dan peradaban manusia semakin terlihat kepincangannya. Anak-anak diasuhi dengan cara sambil lewa, kerohaniannya tidak terisi, sikap kelembutan ibubapa membesarkan anak-anaknya terserlah di zaman ini. Adakah ini yang dikatakan zaman terbuka? Apabila kerajaan memberi laluan kepada dasar terbuka pada teknologi ICT, maka kita terdedah kepada semua perkara positif dan negatif yang boleh memandu kita ke arah jalan yang salah jika tidak pandai mengawal stereng.
Ramai yang menyalahkan zaman teknologi masakini yang menghancurkan nilai-nilai kemanusiaan, tatasusila dan keperibadian ahlak yang baik. Tetapi zaman teknologi inilah yang menyelamatkan cikgu Azizan daripada dihukum melalui kesan tular media sosial yang menyebabkan ramai rakyat yang berkeprihatinan membantah hukuman, menyokong tindakan cikgu Azizan sehingga memaksa Pejabat Pendakwaraya menggugurkan dakwaan.
Jika tiada kuasa media sosial ini, siapakah yang akan tahu nasib yang bakal menimpa cikgu Azizan?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan