Usai Perhimpunan Agung UMNO baharu-baharu ini, isu politik kian menjadi bualan dan perhatian masyarakat Malaysia baik dari kalangan ahlinya mahupun kalangan rakyat yang tidak memihak mana-mana parti (pengundi atas pagar).
Isu utama yang disebut-sebut adalah berakhirnya ikatan Muafakat Nasional (MN) pada 31 Mac 2021 antara dua (2) parti besar melayu iaitu UMNO & PAS yang telah dimeterai kira-kira pada september 2019 yang lalu. Terlerainya ikatan ini berikutan UMNO telah membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan parti Bersatu khususnya menjelang PRU 15 akan datang dan parti PAS pula masih tetap bersama dengan Perikatan Nasional (PN).
Banyak cakap-cakap atau hujahan, tohmahan, andaian dan bermacam-macam lagi yang boleh kita baca dari platform socmed sama ada dari kalangan orang-orang politik itu sendiri mahupun rakyat yang digelar netizen. Bagi saya, melihat isu ini perlu dilihat dengan pelbagai sudut malah boleh juga dilihat dari sudut luar kotak (out of the box).
PERTAMANYA : mari kita lihat dari perspektif parti UMNO. Saya melihat terdapat dua (2) perspektif pada parti besar UMNO ini.
Pertamanya terdapat yang disebut kluster mahkamah dari kalangan pemimpin tertinggi UMNO itu sendiri. Mereka ini berusaha mencari jalan untuk mempercepatkan pembubaran kerajaan PN dengan ertikata lain ingin melaksanakan PRU 15 seberapa segera agar kes-kes mereka yang sedang dibicarakan atau sedang menunggu perbicaraan rayuan dapat digagalkan sekiranya PRU 15 dilaksanakan dan UMNO menang dan memerintah. Jesteru itu kluster ini seberapa cuba mencari jalan pelbagai alternatif. Ada yang mencari populatiri di dalam socmed, ada yang cuba untuk bergabung dengan parti lawan iaitu PKR untuk membentuk kerajaan, ada yang cuba memburuk-burukkan rakan-rakannya sendiri yang berada di dalam kabinet kerajaan bagi menampakkan kepada akar umbi parti dan rakyat bahawa kerajaan PN sudah tidak relevan untuk terus memerintah. Mereka tidak sabar sedangkan asas pembentukan kerajaan PN itu sendiri adalah untuk meneruskan pemerintahan negara sehingga PRU 15 diadakan.
Keduanya pula dari perspektif parti UMNO, saya melihat dari segi prinsip. UMNO yang tulen yang berpegang pada prinsip pasti akan berpegang teguh pada tali prinsipnya. UMNO tidak boleh menerima mereka-mereka yang bersifat dua muka di mana mereka ini boleh memihak kepada mana-mana parti asalkan kelangsungan hayat politik mereka terus kekal. Tindakan parti Bersatu yang rancak memancing Ahli Parlimen dan ADUN dikalangan parti-parti UMNO dan pemimpin parti pembangkang yang bermasalah dengan tawaran sejumlah wang yang lumayan dilihat tidak profesional. Saya melihat tindakan ini menjurus kepada kepentingan peribadi pemimpin Bersatu untuk terus kekal menjadi teraju PN dan kerajaan. Parti Bersatu sangat tidak bertanggungjawab sehingga sanggup menerima pemimpin-pemimpin pembangkang khusus dari DAP & PKR yang bermasalah, malah ada yang sedang dituduh di mahkamah dengan pelbagai kes untuk menyokong gagasan PN dan seterusnya menambah kerusi parlimen yang akan mengimbangi kedudukan kerusi mereka di dalam Parlimen. Tindakan ini menyebabkan UMNO berasa terhina dan tidak boleh menerima tindakan Bersatu. Tindakan parti PAS yang hanya bersikap berkecuali juga menyebabkan UMNO berasa seperti dipinggirkan dalam menegakkan prinsip dan perjuangannya selama ini. Malah sebelum wujudnya kerajaan PN, UMNO & PAS telah mempelawa Bersatu untuk turutserta bersama Muafakat Nasional (MN) bagi mendokong perpaduan ummah menjelang persediaan PRU 15. Tindakan awal Bersatu yang pada mulanya bersetuju tetapi akhirnya mengkhianati dengan menubuhkan PN dan mendafarkannya secara rasmi pula malah mengajak komponen dari BN iaitu MCA & MIC untuk menyertai PN. Saya melihat tindakan ini terutamanya dari Presiden Bersatu (Tan Sri Muhyuddin) sebagai orang yang sombong dan ego.
KEDUANYA : saya melihat dari perspektif parti setahun jagung Bersatu. Mereka ini sebenarnya adalah serpihan dari parti UMNO itu sendiri yang bertindak keluar atau disingkirkan ekoran dari rasa tidak puas hati di atas faktor "tsunami Najib" yang melanda negara kita pada tahun 2015 hingga 2018 yang lalu. Pada pendapat saya, eloklah pemimpin dan ahli-ahli Bersatu ini berlapang dada dan kembalilah kepada UMNO demi perpaduan ummah. Sekiranya mereka enggan, maka benarlah bahawa politik itu kotor. Mereka ini sebenarnya berkepentingan peribadi. Retoriknya hanya melaung-laungkan demi agama! demi Melayu! . Sedangkan bekas Perdana Menteri (Dato' Seri Najib) telahpun didakwa dan didapati bersalah (sedang mengemukakan rayuan) dan sudah meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO, maka eloklah mereka-mereka ini di dalam Bersatu yang meratip isu-isu "Najib" sebelum ini membubarkan sahaja Bersatu dan kembali kepada UMNO. Jika benar jujur dalam perjuangan, kembalilah. Tetapi saya tahu itu adalah amat mustahil kerana mereka-mereka yang berada di dalam Bersatu akan hilang segalanya yang dinikmati hari ini sekiranya kembali kepada UMNO. Mereka ini menggunakan platform baharu parti Bersatu untuk melompat terus naik sebagai pemimpin atasan parti, jika masih bersama UMNO sudah tentu mereka perlu bersaing malah menunggu giliran untuk naik malah mungkin tidak kunjung tiba. Itulah hakikatnya. Jesteru itu tidak hairanlah parti Bersatu enggan bersama dengan MN kerana mereka ingin terus menjadi tonggak kepada kerajaan. Mereka menjaga hati parti PAS dengan memburuk-burukkan UMNO yang digambarkan tamak dan tidak mahu bersama mengukuhkan perpaduan ummah yang teguh. Sebenarnya merekalah yang perlu akur dan kembali kepada UMNO.
KETIGANYA : dari kacamata atau perspketif parti kedua terbesar melayu iaitu PAS. Saya melihat parti PAS ini seperti parti yang lain juga. Mereka juga manusia biasa, hanya segelintir sahaja yang boleh kita kelaskan sebagai ulama. Namun saya melihat kekuatan PAS ini hanyalah sebagai pengimbang sahaja di dalam kalangan parti-parti melayu. PAS boleh menjadi parti yang berfungsi sebagai semak-imbang di dalam kerajaan agar parti yang dominan memerintah berada dilandasan yang sepatutnya. Untuk menjadi parti utama memerintah, adalah amat mustahil dengan kredibiliti dan kemampuan yang ada pada pemimpin-pemimpin PAS. Ini bukan menghina tetapi hakikat yang perlu diterima. Sebab itulah apabila PAS berada sebahagan di dalam kerajaan mereka juga tidak mampu utuk memperkasakan agenda parti mereka. Kenyataan Presiden PAS (Dato' Seri Hj Hadi) yang mengatakan PAS menolak agenda politik berkepentingan peribadi dan terlalu ekstrem mungkin ada benarnya juga yang ditujukan kepada segelintir pemimpin tertinggi UMNO. Sebab itu saya melihat PAS tidak acuh untuk mengatakan YA kepada MN kerana di dalam PN ada juga agenda yang sama. Pemerintah dikuasai oleh orang islam dan yang penting kepentingan semua pihak dijaga. PAS tidak mahu melayan sangat perbalahan diantara Bersatu & UMNO yang lebih dilihat perbalahan peribadi diantara pemimpin-pemimpinnya sedangkan diperingkat akar umbi kelihatan tiada perbalahan kerana umum mengetahui parti Bersatu tidak mempunyai kekuatan diperingkat tersebut. Ahlinya boleh dibilang dengan jari disetiap cawangan/bahagian. Tidak hairanlah PAS masih juga ingin kekalkan MN dan dalam masa yang sama terus memperkasakan PN kerana kedua-duanya sama bagi mereka. Tetapi di dalam kamus politik, ini digelar main dua (2) papan. Sana hendak sinipun hendak. Isitilah ini saya simpulkan hanya kepada mereka yang totok politik. Bagi yang cerdik politik, langkah ini lebih kepada mendamaikan perbalahan ataupun mengurangkan jurang sengketa. Kesimpulannya memang PAS hanyalah parti semak-imbang kepada parti yang dominan untuk memerintah asalkan kepentingan Islam dipelihara.
Jesteru itu jika kita melihat dari ketiga-tiga aspek perspektif parti-parti ini, dapatlah kita rumuskan bahawa sebenarnya tidak ada yang menguntungkan kepada sesiapa pun sekiranya ketiga-tiga parti ini terus berbalah. Kena ingat Najib, Zahid dan lain-lain bukannlah UMNO, UMNO adalah milik ahlinya. Muhyiddin, Ahmad Faisal, Tajuddin bukanlah Bersatu, Bersatu adalah milik ahlinya walaupun sedikit manakala Tuan Guru Hj Hadi, Tuan Ibrahim Tuan Man, Takiyuddin dan lain-lainnya bukanlah PAS, PAS tetap milik ahlinya.
Jika kita memahami konsep ini maka setiap pengemudi parti akan berbalik kepada ahli/akar umbinya dalam menetukan keputusan parti. Sebagai contoh, jika Zahid memahami "signal" ahli-ahli UMNO maka beliau sepatutnya telah meletakkan jawatan atau mempercepatkan pemilihan UMNO sebelum PRU 15 tiba.
Akhirulkalam, politik itu tidak pernah bersih namun politik tidak boleh dipisahkan dengan agama agar ianya dapat dikemudi dilandasan yang betul. Jika bangsa melayu boleh bersatu di atas faktor agama, maka itulah sebenarnya kemenangan kepada kita untuk terus kekal memerintah dengan mengenepikan agenda besar peribadi masing-masing.
Sekian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan