Isnin, 13 Februari 2017

KAIN BURUK ITU BAJUKU



Kain buruk itu bajuku
Selepas melalui pekan Batu Anam, saya menyusuri pula simpang ke Balai Badang yang terletak nun jauh ke pendalaman. Perjalanan saya dilambai oleh beratus-ratus barisan pokok kelapa sawit yang mencecah 10 kaki tingginya. Terdetik di dalam hati ini milik siapakah kebun-kebun ini, wah sudah tentu pemiliknya kaya dengan hasil bulanan sawit ini. Sepanjang perjalanan dengan kenderaan 4x4 ini membuatkan saya berasa tidak selesa dengan struktur jalan yang berbonggol-bonggol, berlubang sana sini, sesekali mengharungi pula tanah-tanah merah. Hati berkata bilalah agaknya akan sampai atau jauh sangatkah penempatan Balai Badang ini? Kira-kira 1 jam perjalanan, sampailah saya di tempat yang dituju, sebuah rumah banglo di penghujung ladang. Ye rumah banglo sederhana tetapi tetap cantik pada pandangan mata saya.
Tatkala membuka pintu kenderaan, saya disambut oleh seorang lelaki tua yang berpakaian lusuh tetapi sangat mesra orangnya. Saya menjangkakan orang tua ini adalah tukang kebun atau orang gaji kepada pemilik rumah ini. Ternyata sangkaan itu meleset, pakcik ini sebenarnya adalah pemilik rumah dan tuan punya ladang tersebut.
Tidak percaya apa yang dilihat, saya cuba bertanyakan beberapa soalan bagi mensahihkan ianya benar-benar pakcik Salleh yang ingin saya sua bagi mendapatkan serba sedikit maklumat tentang kisah kehidupannya. Di sudut laman penjuru kanan rumah tersebut yang mempunyai ampaian di penuhi dengan kain-kain buruk yang disidai. Mengapa kain buruk sahaja? Menurut pakcik Salleh, kain buruk itulah pakaiannya ke ladang setiap hari dengan ditemani oleh isteri, anak-anak dan pekerja-pekerjanya untuk menanam, mengait dan mengangkut buah sawit. Mereka lebih selesa memakai kain untuk bekerja. Kain buruk itu banyak berjasa, kini pakcik Salleh dan keluarganya hanya menjadi pemerhati sahaja kepada para pekerjanya menjalankan tugas-tugas harian di ladang. Walaupun telah mewah, pakcik Salleh tetap sempoi dengan pakaiannya yang boleh mengelirukan tetamu yang menemuinya.
Sempoinya pakcik Salleh sesempoi penampilannya!

Tiada ulasan:

TEKS UCAPAN ALUAN PENGERUSI MASJID AL-MUHAJIRIN BUKIT SIPUT

  Bismillahirrahmannirahim, Alhamdullillahhirabbil alamin wassalatuwassala muala asyrafil ambia imursalim waala alihi wassahbihi wassalim ...