Isnin, 13 Februari 2017

SONGKOKISME III...



Songkokisme III

Usai solat asar di sebuah surau yang terletak di Kampung Parit Ponorogo, Haji Ismail mengorak langkah menunggang motorsikal kapcainya menuju ke sebuah warung kecil untuk membasah tekaknya.

Disitu sudah ramai kenalannya menanti untuk berbual-bual sambil menghirup secawan kopi panas dan sekeping roti arab. Warung Pak Dollah di Parit Ponorogo memang terkenal di kalangan penduduk setempat dengan keenakan roti arabnya sambil dibasahi dengan adunan kopi cap kapal layar.

Sambil menunggu pesanan kopi dan rotinya, Haji Ismail berbual-bual dengan rakan-rakannya yang sememangnya "kaki sembang" . Antara isu yang disembangkan adalah berkenaan keadaan politik semasa. Jangan terperanjat, mereka-mereka ini bukannya berbual kosong tetapi mereka membincangkan tentang isu-isu negara. Nampak dari jauh memang macam membuang masa tetapi ada pengisian yang dibualkan cuma ianya tidaklah sampai ke pihak yang berkenaan atau dalam erti kata lain ianya tidaklah di "memorandumkan" seperti sesebuah konvensyen untuk dibawa ke pihak atasan.

Berkenaan isu politik semasa yang dibincangkan, Haji Ismail ditanya adakah parti songkokisme akan menang seperti biasa di dalam PRU akan datang? Haji Ismail merupakan veteran songkokisme sejak di zaman penjajah lagi. Sambil menghirup seteguk kopinya yang telah sampai, Haji Ismail terdiam seketika, sambil menarik nafas Haji ismail menyatakan soal menang atau tidak nanti bukan persoalannya kini. Apa yang lebih penting bagi Haji Ismail adalah golongan songkokisme perlu muhasabah diri, kembali mengingati perjuangan asalnya, menghapuskan idealogi mencari harta karun di dalam parti, ikhlaskan diri dan perbaiki hala tuju songkokisme itu sendiri. Secara tidak langsung ianya akan kembali memartabatkan perjuangan asal, menyahkan golongan-golongan parasit dalam songkokisme, melahirkan pemimpin-pemimpin tulen dan mewujudkan pemikiran golongan songkokisme yang berfikrian kritis, matang, berprinsip dan bermaruah. Secara tidak langsung pada pendapat Haji Ismail, pemimpin-pemimpin yang dilihat kotor, tidak berintegriti dan bermasalah tidak akan disokong oleh pemimpin lain dan golongan bawahan songkokisme. Bukankah ini menjamin kepada kemenangan kepada setiap PRU? hujah Haji Ismail kembali kepada akan-rakannya.

Haji Ismail juga berpendapat golongan songkokisme sudah sampai masanya menerima idealogi golongan kopiah untuk mereka satukan dan akhirnya membawa kepada penyatuan ummah. Pada ketika dulu, golongan songkokisme berjuang untuk menetang penjajah, menuntut kemerdekaan dan sebagainya namun kini golongan songkokisme hanya perlu mengemaskini hala tujuannya, menambahbaik perjuangannya dan menggabungkan perjuangan kopiah agar songkokisme dan kopiah dapat seiring dan bersatu demi kelangsungan kesejahteraan hidup Islam di negara yang tercinta ini.

Rakan Haji Ismail juga bertanya apa pendirian semua dengan isu Rohingya, apa tindakan negara kita dengan isu ini. Bagi haji Ismail, selemah-lemah tindakan kita adalah dengan cara menadah tangan berdoa agar saudara-saudara seIslam kita di Myanmar diselamatkan oleh Alah Swt. Menurut Haji Ismail, pandangan untuk memboikot apa sahaja yang berkaitan dengan Myanmar termasuk bola sepak Piala AFF adalah langkah yang paling mampu dibuat sepatutnya oleh negara kita. Jangan difikirkan sangat dengan implikasi dari penarikan pertandingan tersebut.

Jam telah menunjukkan hampir 06.00 petang, Haji Ismail menghabiskan baki kopi dan roti arabnya lalu memohon undur diri untuk pulang bagi menyiapkan diri ke surau untuk berjemaah maghrib pula.

Tiada ulasan:

TEKS UCAPAN ALUAN PENGERUSI MASJID AL-MUHAJIRIN BUKIT SIPUT

  Bismillahirrahmannirahim, Alhamdullillahhirabbil alamin wassalatuwassala muala asyrafil ambia imursalim waala alihi wassahbihi wassalim ...