Isnin, 9 April 2018

Songkokisme & PRU 14


Songkokisme & PRU 14

Usai waktu subuh, fajar pula menyinsing melantunkan cahaya pagi. Pak Yakoob mencapai songkok usangnya yang telah berbintik-bintik kelabu lalu mengayuh basikal tua kesayangannya. Kayuhannya adalah menuju ke warong Pak Latip yang terletak kira-kira 1 km dari rumah beliau untuk bersarapan. Hubungan Pak Yakoob dan Pak Latip sememangnya akrab sejak kecil lagi. Mereka berdua adalah rakan sekampung di Parit Ponorogo yang tidak asing di daerah Muar Johor.


Sejurus sampai beliau memesan sekeping roti canai dan kopi O, menu kegemaran Pak Yakoob. Sambil menunggu hidangan, Pak Yakoob menggulung-gulung rokok kertasnya dengan tembakau. Kelihatan Pak Latip pula sedang sibuk menebar roti untuk sahabat baiknya dan juga pelanggan-pelanggan yang lain.


Pak Yakoob dan Pak Latip merupakan ahli veteran parti songkokisme, sebuah parti yang menjadi bualan hangat dan perhatian dari masyarakat masakini lantaran dari isu-isu yang melibatkan kepimpinan tertinggi mahupun isu negara.


Golongan songkokisme seperti Pak Yakoob dan Pak Latip dahulunya sangatlah kuat dan jujur dalam memperjuangkan nasib agama, bangsa dan negara. Perjuangan utama menuntut kebebasan tanah air telahpun tercapai dan perjuangan memartabatkan agama dan bangsa era pasca kemerdekaan begitu lancar. Parti songkokisme ketika itu dilihat begitu kukuh, disanjung tinggi dan dihormati lantaran dari perjuangan dan matlamatnya.


Namun itu dahulu, golongan ahli seperti Pak Yakoob dan Pak Latip hampir pupus. Golongan baharu songkokisme pada hari ini dilihat memperjuangkan nasib dan kekayaan diri, kroni mahupun kuasa. Songkokisme yang sinonim dengan parti ini sudah jauh tersasar dari lapangannya. Perjuangan terdahulu makin terabai lantaran dikuasai oleh golongan yang mencari kekayaan dan bukannya seperti dahulu dari golongan ilmuan.


Jauh disudut hati kita, parti songkokisme masih relevan tetapi perlukan perubahan dan pembaharuan. Kembalilah kepada perjuangan asal nenek moyang mereka. Parti songkokisme perlu nyahkan dasar-dasar atau perlembagaan penjajah yang tidak selari dengan Islam. Sikap menyantuni rakyat khususnya orang-orang melayu perlu sentiasa menjadi keutamaan.


Parti songkokisme perlu menjadikan parti kopiah sebagai rujukan di dalam memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara dan bukannya untuk keperibadian. Lihatlah ahli-ahli tulen parti kopiah, mereka berjuang di atas landasan yang benar. Bagi golongan parasit dalam parti kopiah, mereka ini telahpun keluar dan membentuk parti lain. Tidak dinafikan parti kopiah ada juga kelemahannya tetapi itulah fitrah manusia yang tidak maksum. Hari ini parti kopiah telahpun celik mata dan mengakui kesilapan menjalinkan hubungan dengan parti lain. Perceraian parti kopiah dengan pasangannya menampakkan identiti sebenar pasangannya. Mereka goyah tanpa parti kopiah. Sejujurnya ini adalah kredit kepada parti songkokisme untuk terus bertahan.


Kemenangan golongan songkokisme pada Pilihan Raya Umum yang bakal diadakan pada bila-bila masa ini bukanlah petanda parti songkokisme masih kuat atau masih disokong. Isyaratnya, orang ramai khususnya orang-orang melayu masih memberi peluang dan berharap agar parti songkokisme akan berubah kepada lebih baik demi kemaslahatan rakyat dan negaranya.


Begitulah harapan yang tinggi dari golongan songkokisme terdahulu seperti Pak Yakoob dan Pak Latip. Bagi mereka perjuangan terdahulu harus dikembalikan. Golongan ilmuan perlu kembali mendominasi parti songkokisme atau paling tidakpun seimbang. Bukan tidak percaya atau mahu memperlekehkan golongan selain dari golongan ilmuan, tetapi sekurang-kurangnya matlamat parti songkokisme tidak tersasar jauh dari landasan. Bumi ini bulat dan sentiasa berputar.

Songkokisme dan kopiah tiada bezanya, asalkan menutup kepala, mengapa harus membezakannya?

Ahad, 8 April 2018

SONGKOKISME VIII

SEPAGI BICARA PRU KE 14

Semua orang (rakyat Malaysia) sudah tahu bahawa Parlimen Malaysia sudahpun dibubarkan pada semalam (07 April 2018). Jesteru itu maka Suruhan Jaya Pilihanraya (SPR) akan mengambilalih untuk mengadakan pilihanraya bagi menentukan kerajaan baharu yang bakal mentadbir negara kita ini. Bila-bila masa mulai hari ini tarikh penamaan calon dan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU ke 14) akan diumumkan.

Sememangnya sebagai warganegara apatah lagi telah mencapai umur 21 tahun, maka menjadi tanggungjawab kita untuk mendaftar sebagai pengundi dan seterusnya menjadi pengundi yang bertanggungjawab. Itu hak dan tanggungjawab kita, tetapi sayangnya ramai warganegara kita yang telah cukup syarat tetapi tidak mengambilberat untuk menjadi sebahagian dari pengundi.

Saya menjadi keliru dengan  masyarakat Malaysia hari ini berkenaan dengan pandangan terhadap parti pemerintah Barisan Nasional (BN), nak kata mereka menetang kerajaan tetapi mereka bukan pengundi berdaftar. Nak kata mereka hidup tidak aman, negara kita masih lagi negara yang aman, bebas hidup, bebas menjalankan aktiviti masing-masing. Nak kata mereka tak dapat beribadah dengan baik, semuanya ada disediakan baik masjidnya, waima agama lain pun diberi toleransi dengan binaan kuil dan tokongnya. Nak kata kos hidup tinggi, bukan di Malaysia sahaja, semua negara mengalami perubahan kos sara hidup. Takkanlah harga nasi lemak sekarang masih nak sama macam harga nasi lemak 15 tahun dahulu? contoh. Apa yang penting kerajaan telah cuba menaikkan kadar gaji minimum bagi pekerja swasta dan menaikkan kadar gaji dan elaun bagi penjawat awam. Kenaikan kos sara hidup memang akan berlaku akibat dari perubahan zaman. Lihat pada diri kita sendiri, jika dahulu kita hanya mampu menaiki bas sangkut-sangkut untuk ke pekan, sekarang sekurang-kurangnya kita dah ada motorsikal. Jika dahulu kita bergaji bawah RM 400.00 - RM 800.00, sekarang sekurang-kurangnya kita dah bergaji RM 1500.00 - RM 2,000.00 bagi gaji minimum. Kita dilihat masih mampu berbelanja dan bercuti di tempat-tempat pelancongan khususnya ketika perayaan, cuti sekolah dan Year End Sales (YES). Akurlah bahawa kita sedang diajar agar tidak bermanja, tidak meminta-minta, tidak terlalu bergantung dan sebagainya.

Kita mahukan kerajaan yang baik, tetapi adakah kita merupakan warganegara yang baik? Kita nak tukar kerajaan sedia ada, tetapi adakah kita pasti kerajaan baharu yang dipilih nanti akan memerintah dengan baik? Kita menuduh itu dan ini kepada pengikut-pengikut atau ahli-ahli kepada  parti pemerintah, tetapi adakah kita merupakan sebahagian daripada mereka yang tahu asal usul cerita, yang membuat kerja atau kita hanya mengadu damba sahaja? 

Hari ini kerajaan masakini berhadapan dengan sistem komunikasi yang terbuka luas. Setiap yang berlaku sama ada benar atau tidak benar dihebohkan melalui medium-medium perantara seperti media sosial, media elektronik mahupun surat khabar. Terlalu berbeza dengan era pemerintahan Perdana Menteri terdahulu. Walaupun membawa bendera yang sama ketika itu, kerajaan dahulu dapat menyembunyikan kesalahan dan kebaikan juga tidak dapat diwar-warkan sepenuhnya kerana bergantung kepada media elektronik dan surat khabar yang dikawal.  Hari ini bolehlah kita simpulkan bahawa medium fitnah sangat berleluasa ekoran dari keterbukaan sistem komunikasi tersebut. Tidak hairanlah baru-baru ini Parlimen meluluskan Akta Anti Berita Tidak Benar bagi mengekang rakyat Malaysia dari menulis atau menghebohkan sesuatu perkara sesuka hati tanpa usul periksa. Bolehlah kita ibaratkan seperti mencegah lebih baik dari merawat.

Akhirul kalam, jadilah warganegara yang bertanggungjawab dan berfikiran baik. Kepada pengundi muda fikirkan sebaik-baiknya, kertas undi dan pen ditangan anda! Sebuah kapal yang telah lama berlayar dengan baik tidak perlu dimusnahkan hanya kerana kaptennya yang mabuk, sebaliknya bantulah kapten tersebut atau gantikan dengan kapten yang baru agar kapal dapat terus berlayar menuju ke pelabuhan.


 JALUR GEMILANG