Semua orang (rakyat Malaysia) sudah tahu bahawa Parlimen Malaysia sudahpun dibubarkan pada semalam (07 April 2018). Jesteru itu maka Suruhan Jaya Pilihanraya (SPR) akan mengambilalih untuk mengadakan pilihanraya bagi menentukan kerajaan baharu yang bakal mentadbir negara kita ini. Bila-bila masa mulai hari ini tarikh penamaan calon dan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU ke 14) akan diumumkan.
Sememangnya sebagai warganegara apatah lagi telah mencapai umur 21 tahun, maka menjadi tanggungjawab kita untuk mendaftar sebagai pengundi dan seterusnya menjadi pengundi yang bertanggungjawab. Itu hak dan tanggungjawab kita, tetapi sayangnya ramai warganegara kita yang telah cukup syarat tetapi tidak mengambilberat untuk menjadi sebahagian dari pengundi.
Saya menjadi keliru dengan masyarakat Malaysia hari ini berkenaan dengan pandangan terhadap parti pemerintah Barisan Nasional (BN), nak kata mereka menetang kerajaan tetapi mereka bukan pengundi berdaftar. Nak kata mereka hidup tidak aman, negara kita masih lagi negara yang aman, bebas hidup, bebas menjalankan aktiviti masing-masing. Nak kata mereka tak dapat beribadah dengan baik, semuanya ada disediakan baik masjidnya, waima agama lain pun diberi toleransi dengan binaan kuil dan tokongnya. Nak kata kos hidup tinggi, bukan di Malaysia sahaja, semua negara mengalami perubahan kos sara hidup. Takkanlah harga nasi lemak sekarang masih nak sama macam harga nasi lemak 15 tahun dahulu? contoh. Apa yang penting kerajaan telah cuba menaikkan kadar gaji minimum bagi pekerja swasta dan menaikkan kadar gaji dan elaun bagi penjawat awam. Kenaikan kos sara hidup memang akan berlaku akibat dari perubahan zaman. Lihat pada diri kita sendiri, jika dahulu kita hanya mampu menaiki bas sangkut-sangkut untuk ke pekan, sekarang sekurang-kurangnya kita dah ada motorsikal. Jika dahulu kita bergaji bawah RM 400.00 - RM 800.00, sekarang sekurang-kurangnya kita dah bergaji RM 1500.00 - RM 2,000.00 bagi gaji minimum. Kita dilihat masih mampu berbelanja dan bercuti di tempat-tempat pelancongan khususnya ketika perayaan, cuti sekolah dan Year End Sales (YES). Akurlah bahawa kita sedang diajar agar tidak bermanja, tidak meminta-minta, tidak terlalu bergantung dan sebagainya.
Kita mahukan kerajaan yang baik, tetapi adakah kita merupakan warganegara yang baik? Kita nak tukar kerajaan sedia ada, tetapi adakah kita pasti kerajaan baharu yang dipilih nanti akan memerintah dengan baik? Kita menuduh itu dan ini kepada pengikut-pengikut atau ahli-ahli kepada parti pemerintah, tetapi adakah kita merupakan sebahagian daripada mereka yang tahu asal usul cerita, yang membuat kerja atau kita hanya mengadu damba sahaja?
Hari ini kerajaan masakini berhadapan dengan sistem komunikasi yang terbuka luas. Setiap yang berlaku sama ada benar atau tidak benar dihebohkan melalui medium-medium perantara seperti media sosial, media elektronik mahupun surat khabar. Terlalu berbeza dengan era pemerintahan Perdana Menteri terdahulu. Walaupun membawa bendera yang sama ketika itu, kerajaan dahulu dapat menyembunyikan kesalahan dan kebaikan juga tidak dapat diwar-warkan sepenuhnya kerana bergantung kepada media elektronik dan surat khabar yang dikawal. Hari ini bolehlah kita simpulkan bahawa medium fitnah sangat berleluasa ekoran dari keterbukaan sistem komunikasi tersebut. Tidak hairanlah baru-baru ini Parlimen meluluskan Akta Anti Berita Tidak Benar bagi mengekang rakyat Malaysia dari menulis atau menghebohkan sesuatu perkara sesuka hati tanpa usul periksa. Bolehlah kita ibaratkan seperti mencegah lebih baik dari merawat.
Akhirul kalam, jadilah warganegara yang bertanggungjawab dan berfikiran baik. Kepada pengundi muda fikirkan sebaik-baiknya, kertas undi dan pen ditangan anda! Sebuah kapal yang telah lama berlayar dengan baik tidak perlu dimusnahkan hanya kerana kaptennya yang mabuk, sebaliknya bantulah kapten tersebut atau gantikan dengan kapten yang baru agar kapal dapat terus berlayar menuju ke pelabuhan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan