Ya memang Malaysia telah memilih pada 09 Mei 2018 yang lepas. Ya memang pembangkang ketika itu Pakatan Harapan (PH) telahpun membentuk kerajaan setelah memenangi majoriti kerusi 113 daripada 222 kerusi yang dipertandingkan.
Ya memang Tun Mahathir telah diangkat menjadi Perdana Menteri. Ya memang PH kini parti kerajaan dan Barisan Nasional (BN) adalah parti pembangkang.
Setelah hampir 21 hari berlangsungnya PRU 14, sehingga kini pentadbiran kerajaan PH masih dilihat kucar- kacir dan berlumba untuk memastikan janji 100 hari selepas PRU mereka terlaksana. Rakyat hendakkan dua perkara utama yang membebankan mereka iaitu GST dan harga minyak dihapuskan dan diturunkan sebagaimana canangan mereka. Jesteru itu seperti dijanjikan berkuatkuasa 01 Jun 2018, GST adalah pada kadar 0% dan sebagai rakyat kita nak tahu adakah dengan pelaksanaan GST 0% ini bakal menurunkan harga. Sila simpan bukti pembelian barang-barang anda sebelum 01 Jun ini. Kita nak lihat adakah wujudnya teori "Ahmad Maslan 2" dalam proses penghapusan GST ini.
Bagi harga petrol pula, bila pula nak dilaksankan pengsubsidian semula? Kerajaan PH dilihat terpaksa mengekalkan harga minyak sejak sebelum PRU lagi sehingga kini. Ini bermakna mereka juga akur dengan pelaksanaan formula harga petrol oleh kerajaan terdahulu. Jika mereka betul sepatutnya harga minyak telahpun diturunkan serta merta! Tiada pulak kecaman netizen ke atas perkara ini.
Kita tinggalkan 2 perkara besar ini dan mari kita fikirkan apakah yang bakal berlaku selepas penurunan jawatan Perdana Menteri oleh Tun Mahathir 2 tahun lagi akan datang. Persoalannya benarkah Tun Mahathir akan melepaskan jawatannya kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim? Perkara inilah yang bakal ditunggu-tunggu oleh kita semua. Umum mengetahui mereka ini pernah bermusuhan begitu dekad yang lama, hanya berbaik-baik sejak 1 tahun kebelakangan ini demi mencapai cita-cita mereka menumbangkan kerajaan BN. Secara peribadi saya menjangkakan akan timbul konflik di masa yang terdekat kerana penyatuan mereka bersifat peribadi. Hala tuju perjuangan mereka adalah untuk keperibadian, tiada matlamat sebenar sebagaimana yang telah diumumkan oleh parti PPBM bahawa mereka akan menentukan halatuju yang sebenar selepas memenangi PRU 14 ini. Hasrat PPBM untuk menjatuhkan mantan Perdana Menteri (Dato' Seri Najib Abdul Razak) telahpun tercapai. Hasrat PKR untuk menaikkan DSAI pula bakal tercapai dalam masa 2 tahun lagi. Parti Tindakan Demokratik ( DAP ) pula sememangnya diketahui dengan matlamatnya yang inginkan hak samarata di dalam setiap aspek waima aspek agama dan bangsa. Parti Amanah Negara (PAN) pula kabur tentang perjuangannya, nak kata untuk memartabatkan Islam, kenapa mereka keluar dari PAS? Jelaslah PAN ini hanya pak angguk kepada DAP sahaja. Jesteru itu saya membayangkan penyatuan mereka ini tidak lama dan hanya mengaburi rakyat untuk mencapai agenda masing-masing. Kita tunggu dan lihat!
Sayang seribu kali sayang, nasi telah menjadi bubur. Barisan Nasional khasnya UMNO telahpun menerima hukuman hebat di atas kekalahan pada PRU 14 yang lepas. Setelah memerintah hampir 60 tahun dengan berjasanya, mereka tumbang dengan bebanan yang dicipta oleh presiden mereka sendiri. Bebanan melalui isu-isu besar seperti 1MDB, SRC dan GST gagal ditangani dengan baik dek kerana ketakutan untuk bersuara oleh pemimpin-pemimpin di bawahnya akhirnya memakan diri. Kini jika bersuara pun apalah gunanya. Presiden (DSN) harus bertanggungjawab dan eloklah beliau kini sedang disiasat secara adil demi menegakkan kedaulatan undang-undang. Jika bersalah silalah menerima hukuman, tiada siapa yang akan menolong dan saya percaya ahli-ahli UMNO redha dan menerima apa jua keputusan nanti.
Berbalik kepada kerajaan kini, rakyat telahpun memilih waima orang-orang Melayu juga telah memilih. Jesteru itu jangan salahkan kerajaan sekiranya apa yang dinikmati oleh orang-orang Melayu melalui kerajaan sebelum ini gagal dipelihara dan dikekalkan oleh kerajaan PH. Siapa tahu? nescaya ia tidak mustahil berlaku kerana pemimpin-pemimpin Melayu Islam di dalam kerajaan PH tidak dominan dan tidak diyakini boleh mempertahankan apa yang telah sedia ada semasa kerajaan terdahulu. Nak harapkan YB Mat Sabu? hrmmmm...entahlah haii...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan