Ahad, 20 Disember 2020

UMANG - UMANG CHALET KUALA LINGGI (MENGGAMIT TIUPAN KUALA)

Jika anda menginginkan sebuah percutian bajet ala-ala di pendalaman kampung jauh nun di hujung bandar tanpa ada hiruk pikuk kenderaan, maka Umang - Umang chalet sedia menanti anda sekeluarga.

Terletak di tepi pantai Selat Melaka (di Bukit Darat, Kuala Linggi , Kuala Sungai Baru Melaka), perjalanan masuk dari jalan utama hanyalah lebih kurang 1km tetapi jangan terperanjat kerana ianya merupakan jalan tanah merah yang disambut dengan hutan dan pohon kelapa sawit. Siapa sangka disebalik deretan kampung dan hutan, dibelakangnya terdapat 2 buah pusat percutian chalet yang agak sunyi tetapi bertukar hiruk piruk apabila dikunjungi oleh orang ramai pada sesuatu masa.

Pada 18 Disember - 19 Disember 2020, saya sekeluarga telah menganjurkan mini hari keluarga sebelah isteri yang disertai oleh keluarga adik ipar dan ibu mertua. Percutian "short vacay"  ini tidakpun dirancang. Ianya hanya disusun setelah musim pandemik covid-19 kelihatan reda dan kami mengambil keputusan untuk membuat mini "family day" bagi menceriakan anak-anak. Kami bertuah kerana pada masa yang sama terdapat ramai juga kumpulan-kumpulan lain yang juga menganjurkankan hari keluarga sama ada dari organisasi mahupun dari keluarga peribadi menjadikan chalet tersebut riuh rendah dan ceria.

Jam 11.00 pagi 18 Disember 2020, kenderaan kami bertolak dari Segamat dan terus menuju ke Kampung Hulu Bandar Hilir Melaka untuk menikmati cendol kampung hulu dan makan tengahari. Tempat yang tidak asing bagi saya sekeluarga dan kali ini kami ingin memperkenalkan tempat ini kepada keluarga kami yang lain.

.



Setelah selesai menikmati hidangan tengahari,  kira - kira jam 2.45 petang kami bergerak ke destinasi Umang-Umang Chalet. Perjalanan dari bandar hilir ke Kuala Linggi, Kuala Sungai baru Melaka mengambil masa kira-kira 1 jam apatah lagi perjalanan kami dibelai dengan hujan lebat angin monsun.
Tepat jam 4.00 petang kenderaan kami sampai ke destinasi setelah pada awalnya agak keliru dengan arahan "waze" yang membawa kami meredah jalan merah dan deretan kelapa sawit beratur seolah-olah menjenguk kehairanan kepada kami. Rupa-rupanya memang itulah bentuk jalannya sebelum tiba dipegnhujung jalan untuk ke tepi pantai kuala. Saya difahamkan pihak "resort"  telah lama memohon jalan berturap namun masih belum diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan. 

Setelah "check-in" dan berehat di bilik masing-masing, jam 05.00 petang kami turun ke gigi pantai untuk meneruskan aktiviti yang dirancang oleh isteri dan anak-anak saya. Alhamdullilah hujan yang pada awalnya mengiringi kami semasa perjalanan telahpun berhenti. Cuaca agak baik juga petang itu dan kami menjalankan aktiviti mini sukaneka untuk menghiburkan anak-anak.




Sebelah malam pula, kami menuju ke Restoran Ikan Bakar Fort Supai di pengkalan jeti untuk menikmati ikan dan sotong segar. Terletak kira-kira hanya 1.5km dari chalet kami , restoran ini menjanjikan tempat makan yang sangat luas di atas pesisir pantai. Makanan yang dihidangkan memang sedap dan perkhidmatan hidangannya juga agak cepat. Sambil menikmati hidangan, pengunjung disajikan dengan tiupan bayu laut pesisir kuala. Menariknya terdapat banyak ikan-ikan yang berkumpul di bawah jeti menyambut sisa-sisa makanan yang mengalir dari sinki basuhan tangan.


Jam 09.30 malam semuanya telah kekenyangan dan kami kembali ke chalet untuk merehatkan diri. Kami menyewa 3 bilik "deluxe room" di mana bilik ke- 3 adalah untuk ibu mertua dan anak-anak dara kami. Lena kami tidur dibuai deruan ombak kuala dan irama cengkerik yang menghiasi tidur kami pada malam itu.

Keesokannya, kami merancang untuk singgah di pantai pengakan balak untuk makan tengahari. Setelah "check-out" jam 11.45 pagi, kenderaan kami bergerak ke lokasi pengkalan balak. Saya sekeluarga telahpun pergi secara santai pada bulan november 2020 yang lepas.
Tinjauan kami pada kali ini mendapati pantai pengkalan balak didatangi oleh ramai pengunjung tidak seperti pada bulan yang lepas. Ini mungkin disebabkan oleh faktor cuti persekolahan yang secara rasminya telah bermula pada 18 Disember 2020. Ramai yang mengambil kesempatan membawa anak-anak mereka berkelah dan sebagainya. Kami singgah di salah satu kedai makan persisir pantai untuk makan tengahari sambil menghirup udara pantai monsun yang agak dingin walaupun diwaktu tengahari.


Jam 2.45 petang kami beransur dari pantai pengkalan balak menuju ke destinasi terakhir iaitu Pasaraya MyDin MITC sebelum pulang ke Segamat Johor. Alhamdulillah kami semua selamat sampai ke "hometown" sebelum jam 07.00 petang. Insha Allah "next trip" kita jumpa lagi!















 























Isnin, 7 Disember 2020

PENGKALAN BALAK MELAKA - SEHELAI CATATAN HARIAN

Pengakalan Balak Melaka, satu nama yang tidak asing lagi di negeri Melaka Bandaraya Bersejarah. Sebuah tempat destinasi popular pelancongan (Pekan lama ) terletak di dalam daerah Alor Gajah ini mempunyai pantai pengkalan balak. Terletak bersebelahan dengan Tanjung Bidara, merupakan satu destinasi wajib yang perlu orang luar singgah bagi merasai keunikan negeri Melaka.

Saya sekeluarga merupakan antara berpuluh ribu orang yang pernah hadir di pantai Pengkalan Balak. Pada 28 November 2020, kami sekeluarga berpakat untuk menerjah ke pantai berkenaan untuk sekadar mengambil angin. Kebetulan anak saya yang bongsu berumur 4 tahun menginginkan untuk bermain pasir pantai. Oeh itu, kira-kira jam 11.00 pagi kami bertolak dari rumah kami di Segamat Johor. Perjalanan ke destinasi tersebut mengambil masa lebihkurang 1 jam 30 minit. Seingat saya, kali terakhir pernah datang ke pantai Pengkalan Balak adalah ketika diusia remaja dahulu.

Setelah 1 jam lebih perjalanan melalui Lebuhraya Utara Selatan dan memasuki persimpangan tol Ayer Keroh, kami tiba kira-kira jam 12.35 tengah hari. Alhamdulillah pada ketika ini dimusim tengkujuh, kebetulan pada hari berkenaan tidaklah hujan tetapi suasana seakan mendung dan nyaman walaupun di kemuncak tengah hari.

Seronoknya menyusuri jalan kecil tepi pantai yang dibarisi dengan deretan hotel, chalet mahupun homestay untuk mereka yang ingin bermalam di sini. Pilih sahaja yang mana ada mahu mengikut bajet masing-masing. Rimbunan pokok-pokok besar di deretan pantai menambahkan lagi keredupan pantai sesekali dihembusi angin pantai. Setelah menjumpai tempat yang sesuai untuk kami "park", anak-anak saya terutama yang bongsu tidak sabar untuk mencecahkan kakinya ke pantai apatah lagi barang-barang mainan untuk mengorek pasir telah dibelikan. Saya dan isteri hanya memantau dari bahu jalan di bawah rimbunan pokok yang merimbun. Untuk mereka yang ingin merasai angin-angin pantai yang mengasyikkan, di sini ada jawapannya. Tempat macam ini sesuai untuk tangkap gambar & menikmati tiupan angin laut yang menghembus manja ke muka kita. Tak perlu jauh jalan ke langkawi untuk berkelah di pantai yang cantik.

Sepanjang deretan jalan pantai ini juga terdapat banyak gerai-gerai makanan & minuman, gerai cenderahati dan gerai pakaian tersedia untuk kemudahan pengunjung. Tandas awam juga ada disediakan diawal pintu masuk ke pantai. Apa yang uniknya terdapat banyak kemudahan bilik mandi perseorangan yang disediakan dengan bayaran RM 1.00 seorang bagi mereka yang datang balik hari seperti kami apabila selesai menikmati mandi-manda di pantai.

Setelah lebih 1 jam membiarkan anak-anak menikmati permainan pasir, kami memanggil mereka untuk mencari gerai makanan pula kerana kami belum lagi menikmati makanan tengah hari. Kami memilih sebuah kedai ala-ala bistro (berdekatan dengan kemudahan bilik mandi) untuk santapan tengah hari. Indahnya makan minum di sini dengan merasai tiupan bayu laut yang memang asing bagi kami yang tinggal berjauhan dari pantai.

Jam 04.00 petang, kami mengorak langkah meneruskan perjalanan ke Bandaraya Melaka menyusuri jalan tepi pantai ke arah Tangjung Kling dan seterusnya ke Bandar Hilir. Sebelum sampai, kami singgah di sebuah masjid untuk menunaikan tanggungjawab melaksanakan solat jamak takhir.

Bagi mereka yang inginkan santai harian merasai tiupan bayu ombak pantai, pantai Pengakalan Balak menjanjikan sebuah destinasi bajet yang memenuhi kehendak anda apatah lagi jika bertandang diwaktu-waktu musim agak dingin.









Di Bandaraya Melaka pula kami bersiar-siar sebelum menunggu waktu malam untuk menikmati makan malam di Restoran Cendol Kg. Hulu. Bagi mereka yang biasa ke Melaka, nama tempat ini tidak asing lagi apatah lagi kepada mereka yang suka menikmati hidangan cendol yang unik. Selain cendol yang merupakan menu "killer" restoran mereka, tedapat banyak deretan "stall" yang menjual pelbagai makanan seperti "western food", roti john, nasi lemak berlauk, yong tau foo dan sebagainya. Kedudukan restoran yang terletak ditepi sungai Melaka menambahkan  aura restoran ini yang didirikan ala-ala bistro. Terdapat satu lagi menu yang wajib dirasai iaitu mee ramen asam pedas. Bagi penggemar mee ramen ala Korea bolehlah mencubanya tetapi ianya diinovasi dengan campuran asam pedas melaka.

Jam 08.00 malam, kami bergerak pulang ke Johor dan singgah di Masjid MITC Melaka untuk menunaikan solat jamak takhir maghrib dan isyak sebelum meneruskan perjalanan balik.








Alhamdulillah jam 11.00 malam kami selamat sampai ke rumah kami di Segamat Johor. 















Rabu, 2 Disember 2020

BUKIT BENDERA PULAU PINANG

CORETAN PERJALANANKU KE BUKIT BENDERA PULAU PINANG 01 - 04 DISEMBER 2019

Siapa yang tidak pernah mendengar nama lokasi peranginan Bukit Bendera Pulau Pinang? Sudah tentu nama popular lokasi ini saya pasti ramai yang telah menjejakan kakinya ke sini. Saya juga telahpun sampai kira-kira setahun yang lalu iaitu pada 01 hingga 04 Disember 2019. Perjalanan saya sekeluarga bermula waktu selepas subuh bergerak dari "hometown" kami iaitu Segamat Johor.

"Target" persinggahan pertama kami adalah di restoran Nasi Bamboo Sungai Klah iaitu di Sungkai Perak. Alhamdulillah kira-kira jam 11.00 pagi kami sampai ke destinasi tersebut. Ternyata makanannya sungguh sedap dengan nasi kukus yang dibaluti dengan daun pisang dan buluh. Lauk -pauk sungguh banyak dan menggiurkan.



Selesai menjamu selera, perjalanan kami diteruskan kira-kira jam 12.30 tengahri. Lebuhraya Utara-Selatan menjadi laluan utama dan saksi kepada perjalanan saya sekeluarga.

"Target" kedua perjalanan kami adalah untuk menaiki feri bersama kenderaan dari tanah semenanjung ke pulau. Setelah hampir 4 jam perjalanan termasuk berhenti rewat dan rawat di R&R sepajang perjalanan, kami tiba di Terminal Feri Sultan Abdul Halim Butterworth Pulau Pinang. Anak-anak sudah melonjak keriangan tidak sabar untuk menaiki feri bersama kenderaan kami. Alhamdulillah, kenderaan yang beratur untuk menunggu giliran memasuki feri tidaklah banyak diwaktu itu.




Kira-kira hampir setengah jam, perjalanan feri tiba ke Terminal Raja Tun Uda Georgetown Pulau Pinang. Dari situ kami terus mencari hotel penginapan kami yang telah ditempah. Selepas "check-in" di Hotel Regal Malaysia Pulau Pinang, kami merehatkan diri setelah hampir 12 jam perjalanan.

"Target" ketiga kami iaitu keesokan harinya adalah ke Bukit Bendera Pulau Pinang. Keesokannya setelah menikmati sarapan pagi di luar hotel, kami bersiap bergerak ke Bukit Bendera. Perjalanan dari hotel penginapan mengambil masa lebih kurang 30 minit. Pada mulanya kami telah tersilap sampai ke pintu belakang Bukit Bendera kerana tersilap menggunakan aplikasi "waze". Pintu tersebut digunakan untuk mereka-mereka yang ingin "hiking" ke puncak. Kami bergerak semula dengan membetulkan arahan "waze" dan alhamdulillah tiba di pintu masuk utama Bukit Bendera. Pada ketika ini memang cabaran untuk membeli tiket kereta kabel (Cable-car) adalah tinggi kerana musim cuti persekolahan. Setelah selesai urusan tiket, kami dapat menaiki kereta kabel ke puncak dan kira-kira jam 12.30 tengahari kami sampai. Perjalanan menaiki kereta kabel tidaklah lama hanya mengambil masa 15 minit. Saya sekeluarga meluangkan masa hampir 4 jam disitu dan kira-kira jam 05.30 petang kami menuju turun ke kaki bukit. Sebelah malamnya kami terus ke Padang Kota untuk menikmati pesembur dan lain-lain masakan penang.










Hari ketiga kami di Pulau Pinang hanya diisi dengan "strolling" ke Batu Feringgi dan Tanjung Bunga. Tiada apa-apa "target" di situ cuma hanya ingin "explore" apa yang di situ. Tinjauan kami mendapati kawasan ini lebih menarik untuk disinggah kerana atas faktor makanan dan kumpulan orang-oarang melayu yang lebih majoriti. Jesteru sesiapa yang ingin bermalam di Pulau Pinang, disarankan memilih penginapan di kawasan Batu Feringgi. Jika teringinkan masakan tulen melayu, di sini boleh dijumpai berbanding di kawasan georgetown yang lebih kepada masakan "mamee penang".





Selesai hari ketiga, keesokannya hari keempat kami bergerak pulang ke Johor. Setelah "check-out" jam 08.00 pagi, kami terus menuju keluar menggunakan laluan Jambatan Pulau Pinang yang merupakan "target" keempat kami apabila menjejaki Pulau Pinang. Sangat teruja anak-anak dapat melihat sendiri batang tubuh Jambatan Pulau Pinang yang sebelum ini hanya dilihat melalui buku-buku mahupun kaca televisyen. Percutian ke Pulau Pinang ini agak mengecewakan sedikit kerana saya dan anak-anak dijangkiti demam pada hari kedua dan ketiga dan tidak berapa "feel" untuk menikmati percutian. Nasib badan, insha Allah saya sekeluarga akan kembali lagi untuk "cover" balik kekurangan tersebut. Perjalanan pulang ke Johor berjalan dengan baik dan kami mengambil kesempatan untuk singgah dan bermalam di Melaka. Sekian coretan dari saya.


 JALUR GEMILANG