Assalamualaikum wbt.
Pada
bulan Julai 2013 yang lalu, pihak Bank Negara telah mengumumkan beberapa
perkara yang melibatkan tempoh pinjaman :
(i) tempoh pinjaman peribadi dipendekkan setakat 10 tahun maksimum
(dahulu 25 tahun)
(ii) tempoh pinjaman hartanah dan rumah dipendekkan kepada 35 tahun (dahulu 45 tahun)
(ii) tempoh pinjaman hartanah dan rumah dipendekkan kepada 35 tahun (dahulu 45 tahun)
(iii) tidak membenarkan lagi
pinjaman pra kelayakan.
Alasan yang diberikan Bank Negara adalah untuk
menangani kenaikan hutang isirumah yang meningkat dari RM465.2 bilion pada
tahun 2008 kepada RM754.6 bilion pada pertengahan tahun 2013.
Dengan harga rumah mahal, harga kereta mahal dan
kos hidup yang mahal, rakyat Malaysia adalah ‘juara’ dalam membuat hutang,
iaitu hutang isirumah kita adalah 140% berbanding
dengan pendapatan, Singapura 105%, Amerika 123%,
Korea 101%, Thailand 53% dan Indonesia 38%.
Akibat hutang yang banyak ini, kadar individu yang diisytiharkan
bankrap pada tahun 2012 ialah 19,575 ataupun 53 orang sehari dalam setahun, di
mana 50% adalah dari golongan berumur 25-44 tahun. Jumlah individu yang bankrap
dari tahun 2007 sehingga 2013 adalah 245,000 orang yang mana faktor utamanya
adalah disebabkan oleh kegagalan untuk membayar pinjaman (hutang).
Persoalannya, kenapa hutang rakyat kita tinggi? Menurut data Bank
Negara, 64% pinjaman yang dibuat oleh isirumah adalah dari pinjaman perumahan
dan kereta sahaja. Pinjaman peribadi jatuh ke tempat ketiga paling banyak.
Berbalik
kepada persoalan di atas, saya melihat langkah Bank Negara memendekkan tempoh
pinjaman adalah munasabah bagi mengekang kegilaan rakyat khususnya golongan
muda membuat pinjaman dalam tempoh yang begitu lama tanpa keperluan yang
penting. Jika kita lihat pada masa kini golongan-golongan muda berbelanja
melebihi daripada pendapatan mereka. Tawaran-tawaran yang menarik di pasaran
seperti gajet, pakaian-pakain berjenama dan lain-lain membuatkan golongan-golongan
muda tidak mampu mengawal nafsu dari berbelanja walaupun pada ketika itu wang
saku mereka kian menipis. Malah ada juga yang menggunakan kemudahan kad kredit
tanpa kawalan sehingga menyebabkan kegagalan membayar balik hutang-hutang
mereka.
Saya
juga melihat aspek perancangan kewangan yang lemah dan kurangnya pengetahuan
mengenai pengurusan wang menjadi faktor utama masalah hutang. Situasi ini
menyumbang kepada masalah muflis yang semakin meningkat saban tahun.
Walaubagaimanapun
perkara asas yang ingin dibentangkan di sini adalah pinjaman. Saya
melihat pinjaman merupakan faktor yang amat penting bagi memenuhi keperluan dan
kehendak seseorang dalam kehidupan. Rumah dan kereta merupakan keperluan asas
yang amat penting pada masa kini. Ini menyebabkan pihak-pihak yang tidak
bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan meletakkan kadar faedah yang
tinggi ke atas pinjaman bagi mendapatkan keperluan tersebut. Rakyat tiada
pilihan, pinjaman perlu dilakukan walaupun dengan kadar bunga yang tinggi, malah
jika pinjaman tidak diluluskan, ada yang mengambil risiko dengan mendapatkan
pinjaman mudah dan segera daripada Along.
Bagi
pihak pemaju pula, mereka membina rumah yang bernilai begitu tinggi sehingga
sukar dimiliki oleh golongan berpendapatan sederhana malah harga rumah kos
sederhana tinggi dan rendah juga dianggap masih tinggi atas alasan harga barang-barang
binaan yang kian meningkat. Bagi penjualan kereta pula, harga dan kadar faedah
pinjaman yang dikenakan di negara ini adalah tinggi berbanding dengan harga dan
kadar dari negara-negara jiran. Golongan muda terpaksa mengenepikan soal kadar
faedah dan deposit yang tinggi yang disyaratkan oleh bank atau institusi
kewangan asalkan impian mendapatkan kenderaan mereka tercapai.
Faktor
harga barang sentiasa naik juga merupakan penyebab kepada peningkatan jumlah
pinjaman yang tinggi di negara ini. Kita tidak mahu isu-isu seperti ini
dipergunakan lagi oleh pihak pembangkang meraih simpati semasa PRU ke 13 yang
lepas. Golongan muda yang dihimpit
masalah seperti ini akan mudah percaya kepada isu-isu yang didendangkan oleh mereka.
Oleh yang demikian, kami melihat isu-isu seperti ini perlu diatasi bermula dari
sekarang sehinggalah menjelang PRU yang ke 14 akan datang.
Selaras
dengan itu, saya ingin mengesyorkan beberapa perkara yang boleh diperbaiki
dalam aspek pinjaman darpada institusi kewangan, bank mahupun kerajaan dan juga
beberapa cadangan dalam menangani masalah tersebut :
1) Bagi pihak
kerajaan, turunkan kadar faedah pinjaman perumahan dari kadar 4% kepada 2%
ataupun mencontohi kerajaan negeri Kelantan yang tidak mengenakan faedah
pinjaman perumahan kepada kakitangannya. Bagi pihak bank ataupun institusi
kewangan, turunkan kadar faedah pinjaman rumah pertama dari 6% kepada 3%
ataupun mencontohi Public Bank yang mengenakan kadar faedah 1% kepada
kakitangannya.
2) Kerajaan perlu
menaikkan elaun perumahan kepada kakitangan awam yang kini hanya sekitar RM
180.00 hingga RM 250.00 sebulan memandangkan jumlah tersebut tidak lagi relevan
pada masa kini. Bagi sektor swasta pula, kerajaan perlu mewajibkan mereka
membayar elaun perumahan kepada pekerja mereka disamping syarat gaji minimum
yang telah dilaksanakan kini.
3) Mendesak kerajaan
sendiri membina lebih banyak rumah mampu milik tanpa menyerahkan sepenuhnya
kepada pihak pemaju. Perancangan melalui belanjawan fokus kepada rumah mampu
milik ini dan sediakan sekali pinjaman dengan kadar seperti perkara (1) khususnya kepada golongan muda tanpa mengira
sektor awam mahupun swasta.
4) Mendesak kerajaan
mengadakan saluran mudah pinjaman perumahan seperti perkara (3) khususnya
kepada golongan belia melalui Kementerian Belia & Sukan.
5) Meminda akta yang berkaitan
dengan pembinaan perumahan agar pemaju mengikut syarat-syarat ketat yang
ditetapkan oleh kerajaan sekaligus memberi impak kepada kawalan harga rumah.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu melaksanakan satu mekanisme yang
dapat mengawal harga barang binaan agar situasi menang-menang tercapai.
6) Kerajaan perlu
mengawal harga tanah dengan menetapkan kadar siling kerana ianya memberi impak
kepada harga rumah.
7) Menurunkan harga
kereta baru di pasaran terutama
kereta-kereta import dengan menurunkan kadar cukai kenderaan tersebut.
Pengumuman kerajaan dalam Bajet 2013 untuk menurunkan harga kereta dari 20% hingga 30% sehingga tahun 2017 perlu
dilaksanakan segera. Kerajaan tidak perlu bimbang dengan prestasi jualan kereta
PROTON kerana ianya telahpun diambil alih oleh syarikat Sime Darby yang
diyakini boleh membawa PROTON berdaya saing dengan jenama-jenama lain.
8) Mendesak kerajaan
melalui Jabatan Insolvensi Malaysia menaikkan kadar hutang yang menetapkan
seseorang individu boleh diisytiharkan bankrap melalui Mahkamah Tinggi dari
sekurang-kurangnya RM 30,000.00 kepada RM 60,000.00.
9) Kerajaan perlu
mengadakan program wajib bagi setiap lepasan sekolah atau graduan universiti
menghadiri satu program ataupun kursus dalam tempoh tertentu tentang bagaimana
menguruskan kewangan diri . Program wajib ini perlu diwujudkan seperti Program
PLKN yang akan mempunyai modul-modulnya tersendiri.
10) Mendesak pihak bank
dan institusi kewangan menghadkan kemudahan kad kredit satu (1) sahaja untuk
setiap orang khususnya kepada golongan muda dan menetapkan had penggunaan yang
paling rendah atau tidak lebih RM 3,000.00 sahaja. Syarat permohonan haruslah
diperketatkan lagi.
Saya
yakin sekiranya cadangan dan syor seperti di atas, jika diambil perhatian oleh pihak kerajaan, pihak
bank dan institusi kewangan, kadar muflis khususnya dikalangan golongan muda
dapat diturunkan malah boleh diatasi sehingga kadar sifar. Alternatif melalui
usaha-usaha lain oleh pihak kerajaan seperti mewujudkan Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) bagi mengawal kenaikan harga
barang dan kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat terutamanya oleh golongan
berpendapatan rendah dapat membantu menangani masalah-masalah ini. Saya juga
yakin usaha-usaha kerajaan melalui Program
Transformasi Ekonomi dapat mempertingkatkan taraf kehidupan rakyat
sekaligus mengatasi masalah hutang-hutang mereka.
Pengumuman YAB Perdana Menteri melalui Majlis Pemerkasaan Ekonomi
Bumiputera pada 14 September 2013 yang lalu di Universiti Teknologi Mara Shah
Alam adalah langkah yang berani dan tepat pada masanya. Langkah kerajaan untuk meningkatkan ekonomi
bumiputera dengan memperkenalkan lima (5) strategi utama seperti mendaya
modal insan bumiputera dan memperhebatkan keusahawanan dan perniagaan bumiputera
dilihat dapat membantu mengatasi masalah yang dibangkitkan.
Sekian,
wallahualam.
Sekadar penulisan, sesungguhnya yang baik itu
datangnya dari Allah Swt. dan sudah tentulah kelemahan ini dari saya sendiri.
Sumber & Rujukan :
1)
Artikel dari Datuk Dr Mohammad Agus
Yusoff, Penganalisis Politik, Pensyarah UKM
2)
Laman Web Bank Negara Malaysia www.bnm.gov.my
3)
Laman Web Unit Perancang Ekonomi (EPU) www.epu.gov.my
4) Laman
Web Jabatan Insolvensi Malaysia www.insolvensi.gov.my
1 ulasan:
No. 7 tu macam dah dilupakan shj..
Catat Ulasan