Selasa, 12 Mei 2015

Perlukah kita memandang serius ke atas statistik kadar peratusan rakyat khususnya golongan berumur dari 25 – 44 tahun yang diisytiharkan muflis meningkat setiap tahun.


Assalamualaikum wbt.
Pada bulan Julai 2013 yang lalu, pihak Bank Negara telah mengumumkan beberapa perkara yang melibatkan tempoh pinjaman :
(i) tempoh pinjaman peribadi dipendekkan setakat 10 tahun maksimum (dahulu 25 tahun)
(ii) tempoh pinjaman hartanah dan rumah dipendekkan kepada 35 tahun (dahulu 45 tahun)
(iii) tidak membenarkan lagi pinjaman pra kelayakan.
Alasan yang diberikan Bank Negara adalah untuk menangani kenaikan hutang isirumah yang meningkat dari RM465.2 bilion pada tahun 2008 kepada RM754.6 bilion pada pertengahan tahun 2013. 
Dengan harga rumah mahal, harga kereta mahal dan kos hidup yang mahal, rakyat Malaysia adalah ‘juara’ dalam membuat hutang, iaitu hutang isirumah kita adalah 140% berbanding dengan pendapatan, Singapura 105%, Amerika 123%, Korea 101%, Thailand 53% dan Indonesia 38%.
Akibat hutang yang banyak ini, kadar individu yang diisytiharkan bankrap pada tahun 2012 ialah 19,575 ataupun 53 orang sehari dalam setahun, di mana 50% adalah dari golongan berumur 25-44 tahun. Jumlah individu yang bankrap dari tahun 2007 sehingga 2013 adalah 245,000 orang yang mana faktor utamanya adalah disebabkan oleh kegagalan untuk membayar pinjaman (hutang).
Persoalannya, kenapa hutang rakyat kita tinggi? Menurut data Bank Negara, 64% pinjaman yang dibuat oleh isirumah adalah dari pinjaman perumahan dan kereta sahaja. Pinjaman peribadi jatuh ke tempat ketiga paling banyak.
Berbalik kepada persoalan di atas, saya melihat langkah Bank Negara memendekkan tempoh pinjaman adalah munasabah bagi mengekang kegilaan rakyat khususnya golongan muda membuat pinjaman dalam tempoh yang begitu lama tanpa keperluan yang penting. Jika kita lihat pada masa kini golongan-golongan muda berbelanja melebihi daripada pendapatan mereka. Tawaran-tawaran yang menarik di pasaran seperti gajet, pakaian-pakain berjenama dan lain-lain membuatkan golongan-golongan muda tidak mampu mengawal nafsu dari berbelanja walaupun pada ketika itu wang saku mereka kian menipis. Malah ada juga yang menggunakan kemudahan kad kredit tanpa kawalan sehingga menyebabkan kegagalan membayar balik hutang-hutang mereka.
Saya juga melihat aspek perancangan kewangan yang lemah dan kurangnya pengetahuan mengenai pengurusan wang menjadi faktor utama masalah hutang. Situasi ini menyumbang kepada masalah muflis yang semakin meningkat saban tahun.
 
Walaubagaimanapun perkara asas yang ingin dibentangkan di sini adalah pinjaman. Saya melihat pinjaman merupakan faktor yang amat penting bagi memenuhi keperluan dan kehendak seseorang dalam kehidupan. Rumah dan kereta merupakan keperluan asas yang amat penting pada masa kini. Ini menyebabkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan meletakkan kadar faedah yang tinggi ke atas pinjaman bagi mendapatkan keperluan tersebut. Rakyat tiada pilihan, pinjaman perlu dilakukan walaupun dengan kadar bunga yang tinggi, malah jika pinjaman tidak diluluskan, ada yang mengambil risiko dengan mendapatkan pinjaman mudah dan segera daripada Along.
Bagi pihak pemaju pula, mereka membina rumah yang bernilai begitu tinggi sehingga sukar dimiliki oleh golongan berpendapatan sederhana malah harga rumah kos sederhana tinggi dan rendah juga dianggap masih tinggi atas alasan harga barang-barang binaan yang kian meningkat. Bagi penjualan kereta pula, harga dan kadar faedah pinjaman yang dikenakan di negara ini adalah tinggi berbanding dengan harga dan kadar dari negara-negara jiran. Golongan muda terpaksa mengenepikan soal kadar faedah dan deposit yang tinggi yang disyaratkan oleh bank atau institusi kewangan asalkan impian mendapatkan kenderaan mereka tercapai.
Faktor harga barang sentiasa naik juga merupakan penyebab kepada peningkatan jumlah pinjaman yang tinggi di negara ini. Kita tidak mahu isu-isu seperti ini dipergunakan lagi oleh pihak pembangkang meraih simpati semasa PRU ke 13 yang lepas.  Golongan muda yang dihimpit masalah seperti ini akan mudah percaya kepada isu-isu yang didendangkan oleh mereka. Oleh yang demikian, kami melihat isu-isu seperti ini perlu diatasi bermula dari sekarang sehinggalah menjelang PRU yang ke 14 akan datang.
Selaras dengan itu, saya ingin mengesyorkan beberapa perkara yang boleh diperbaiki dalam aspek pinjaman darpada institusi kewangan, bank mahupun kerajaan dan juga beberapa cadangan dalam menangani masalah tersebut :
 
 
1)    Bagi pihak kerajaan, turunkan kadar faedah pinjaman perumahan dari kadar 4% kepada 2% ataupun mencontohi kerajaan negeri Kelantan yang tidak mengenakan faedah pinjaman perumahan kepada kakitangannya. Bagi pihak bank ataupun institusi kewangan, turunkan kadar faedah pinjaman rumah pertama dari 6% kepada 3% ataupun mencontohi Public Bank yang mengenakan kadar faedah 1% kepada kakitangannya.
 
2)    Kerajaan perlu menaikkan elaun perumahan kepada kakitangan awam yang kini hanya sekitar RM 180.00 hingga RM 250.00 sebulan memandangkan jumlah tersebut tidak lagi relevan pada masa kini. Bagi sektor swasta pula, kerajaan perlu mewajibkan mereka membayar elaun perumahan kepada pekerja mereka disamping syarat gaji minimum yang telah dilaksanakan kini.
 
 
3)    Mendesak kerajaan sendiri membina lebih banyak rumah mampu milik tanpa menyerahkan sepenuhnya kepada pihak pemaju. Perancangan melalui belanjawan fokus kepada rumah mampu milik ini dan sediakan sekali pinjaman dengan kadar seperti perkara (1)  khususnya kepada golongan muda tanpa mengira sektor awam mahupun swasta.

4)    Mendesak kerajaan mengadakan saluran mudah pinjaman perumahan seperti perkara (3) khususnya kepada golongan belia melalui Kementerian Belia & Sukan.
 
5)    Meminda akta yang berkaitan dengan pembinaan perumahan agar pemaju mengikut syarat-syarat ketat yang ditetapkan oleh kerajaan sekaligus memberi impak kepada kawalan harga rumah. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu melaksanakan satu mekanisme yang dapat mengawal harga barang binaan agar situasi menang-menang tercapai.
6)    Kerajaan perlu mengawal harga tanah dengan menetapkan kadar siling kerana ianya memberi impak kepada harga rumah.
 
 

7)    Menurunkan harga kereta baru di  pasaran terutama kereta-kereta import dengan menurunkan kadar cukai kenderaan tersebut. Pengumuman kerajaan dalam Bajet 2013 untuk menurunkan harga kereta dari  20% hingga 30% sehingga tahun 2017 perlu dilaksanakan segera. Kerajaan tidak perlu bimbang dengan prestasi jualan kereta PROTON kerana ianya telahpun diambil alih oleh syarikat Sime Darby yang diyakini boleh membawa PROTON berdaya saing dengan jenama-jenama lain.
8)    Mendesak kerajaan melalui Jabatan Insolvensi Malaysia menaikkan kadar hutang yang menetapkan seseorang individu boleh diisytiharkan bankrap melalui Mahkamah Tinggi dari sekurang-kurangnya RM 30,000.00 kepada RM 60,000.00.
9)    Kerajaan perlu mengadakan program wajib bagi setiap lepasan sekolah atau graduan universiti menghadiri satu program ataupun kursus dalam tempoh tertentu tentang bagaimana menguruskan kewangan diri . Program wajib ini perlu diwujudkan seperti Program PLKN yang akan mempunyai modul-modulnya tersendiri.
 
 
10)    Mendesak pihak bank dan institusi kewangan menghadkan kemudahan kad kredit satu (1) sahaja untuk setiap orang khususnya kepada golongan muda dan menetapkan had penggunaan yang paling rendah atau tidak lebih RM 3,000.00 sahaja. Syarat permohonan haruslah diperketatkan lagi.
 
Saya yakin sekiranya cadangan dan syor seperti di atas, jika  diambil perhatian oleh pihak kerajaan, pihak bank dan institusi kewangan, kadar muflis khususnya dikalangan golongan muda dapat diturunkan malah boleh diatasi sehingga kadar sifar. Alternatif melalui usaha-usaha lain oleh pihak kerajaan seperti mewujudkan Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) bagi mengawal kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat terutamanya oleh golongan berpendapatan rendah dapat membantu menangani masalah-masalah ini. Saya juga yakin usaha-usaha kerajaan melalui Program Transformasi Ekonomi dapat mempertingkatkan taraf kehidupan rakyat sekaligus mengatasi masalah hutang-hutang mereka.
 
Pengumuman YAB Perdana Menteri melalui Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera pada 14 September 2013 yang lalu di Universiti Teknologi Mara Shah Alam adalah langkah yang berani dan tepat pada masanya.  Langkah kerajaan untuk meningkatkan ekonomi bumiputera dengan memperkenalkan lima (5) strategi utama seperti mendaya modal insan bumiputera dan memperhebatkan keusahawanan dan perniagaan bumiputera dilihat dapat membantu mengatasi masalah yang dibangkitkan.
Sekian, wallahualam.
Sekadar penulisan, sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah Swt. dan sudah tentulah kelemahan ini dari saya sendiri.
 
Sumber & Rujukan :
1)     Artikel dari Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, Penganalisis Politik, Pensyarah UKM
2)     Laman Web Bank Negara Malaysia www.bnm.gov.my
3)     Laman Web Unit Perancang Ekonomi (EPU) www.epu.gov.my
4)     Laman Web Jabatan Insolvensi Malaysia www.insolvensi.gov.my
 
 
 
 
 
 
 

1 ulasan:

perisaasamboi berkata...

No. 7 tu macam dah dilupakan shj..

TEKS UCAPAN ALUAN PENGERUSI MASJID AL-MUHAJIRIN BUKIT SIPUT

  Bismillahirrahmannirahim, Alhamdullillahhirabbil alamin wassalatuwassala muala asyrafil ambia imursalim waala alihi wassahbihi wassalim ...